Tuesday, July 21, 2026

Dollah, Zainal Abidin dalam barisan kepimpinan baharu FAM

Mesti Baca

DUA legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan merupakan antara nama yang berada dalam kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029.

Berdasarkan keputusan rasmi pemilihan FAM hari ini, Dollah menang bagi jawatan Naib Presiden setelah memperoleh 16 undian daripada 72 perwakilan terdiri daripada ahli-ahli gabungan FAM.

Dollah bukan sahaja mencatat sejarah sebagai bekas pemain kebangsaan pertama yang berada dalam kepimpinan tertinggi FAM malahan sebagai bekas jurulatih kebangsaan pertama yang menduduki kerusi Naib Presiden.

Dollah dan Zainal Abidin merupakan bekas pemain kebangsaan era 1980-an dan 1990-an dan kedua-dua pernah bergandingan membimbing pasukan Sri Pahang FC.

Sementara itu tiga lagi kerusi Naib Presiden diisi oleh Datuk Seri Rosmadi Ismail yang mendapat 17 undi, N. Saaran (13 undi) dan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (17 undi).

Manakala Zainal Abidin pula memenangi satu daripada lapan kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM setelah memperoleh 18 undi iaitu jumlah tertinggi daripada 14 calon yang bertanding.

Pada pemilihan sempena Kongres Tahunan FAM Ke-61 itu, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub secara rasmi diumum sebagai sebagai Presiden yang baharu bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin.

Hamidin sebelum ini membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan yang disandang sejak 2018 lalu bagi memberi ruang bagi ahli gabungan FAM memilih Presiden yang baharu.

Tahun lalu tersebar satu surat layang yang mendakwa Hamidin menerima gaji hampir RM90,000 sebulan sebagai Presiden FAM dan itu tidak termasuk elaun daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ketika ditanya media berhubung dakwaan tersebut, Hamidin berkata perkara berkaitan gaji adalah satu isu peribadi.

Malah beliau menjelaskan statusnya sebagai Presiden sepenuh masa dan menerima beberapa faedah yang sudah ditetapkan ketika beliau dipilih ke jawatan itu pada 2018 lalu.

“(Adakah jumlah ditetapkan dipersetujui Exco?) Tiada, memang kita dah ikut daripada yang lepas 2018,” kata Hamidin seperti dilapor media tahun lalu.

Sementara itu, dua Timbalan Presiden iaitu Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram mempertahankan jawatan masing-masing setelah turut menang tanpa bertanding. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan