SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyambung tugas beliau sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk tempoh dua tahun lagi.
Pelantikan semula bermula 1 Mac itu dibuat Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Asyraf Wajdi yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kewangan Islam pertama kali dilantik ke jawatan itu pada 11 Mac 2023.
Asyraf Wajdi berkata, beliau menerima tugas tersebut sebagai satu beban tanggungjawab besar (taklif) yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak dan bukannya bentuk kemasyuran (tasrif).
“Pesanan Datuk Seri Zahid, ‘Asyraf, MARA adalah institusi orang Melayu-Bumiputera, perkasakan MARA untuk terus martabatkan agenda pendidikan dan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera!’
“Mohon rakan-rakan doakan saya agar dipermudahkan untuk melaksanakan amanah bangsa dan agama ini,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Sejak menerajui MARA beliau telah melakukan banyak perubahan terutama terhadap institusi pendidikan di bawah agensi itu khususnya dalam memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan pendidikan tahfiz.
Selain terkenal kerana sering “menerjah” institusi pendidikan MARA khususnya Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) beliau juga turut gigih menghidupkan semula premis perniagaan seperti akid dan bazar MARA yang sekian lama “hidup segan mati tak mahu”.
Antaranya mengambil tindakan tegas terhadap para penyewa pasif yang menjadikan premis berkenaan sebab “pejabat hantu” atau tidak menjalankan aktiviti perniagaan sejak sekian lama. – Edisi 9

