KERAJAAN bercadang untuk memperketatkan syarat kepada syarikat pelancongan yang mahu menawarkan pakej haji dan umrah ke Tanah Suci Mekah.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, pihaknya sedang meneliti dan mengkaji secara menyeluruh pelaksanaan mewajibkan syarikat-syarikat tersebut mempunyai Jaminan Bank sekurang-kurangnya RM250,000.
MOTAC dalam kenyataan berkata, bagi pengendali berskala besar pula, Jaminan Bank tersebut akan dinaikkan mengikut saiz operasi syarikat mereka.
“Diharapkan dasar yang dimuktamadkan kelak dapat dikuatkuasakan secepat mungkin.
“Ini adalah berdasarkan kepada keadaan di mana kes penipuan pengguna semakin serius dan sering berlaku,” kata kenyataan itu hari ini.
MOTAC berkata, adalah sedia maklum Jaminan Bank bagi syarikat-syarikat pengendali adalah termaktub dalam Peraturan-peraturan Industri Pelancongan di bawah Akta 482.
Katanya, langkah tersebut bertujuan memastikan perkhidmatan yang berkualiti dan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.
Misalnya apabila berlaku penipuan, kata MOTAC, dana dari Jaminan Bank tersebut akan digunakan untuk memberi pampasan kepada mangsa yang terjejas.
“Sekiranya ada syarikat yang tidak dapat memenuhi keperluan minimum ini, maka MOTAC tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen mereka serta-merta tanpa kompromi.
“Sesungguhnya MOTAC kecewa kerana meskipun tindakan telah diambil terhadap pengendali yang gagal mematuhi undang-undang sebelum ini, namun masih terdapat pengendali yang terus mengabaikan tanggungjawab mereka,” katanya.
Hari ini seramai 135 mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang telah hadir ke pejabat MOTAC di Putrajaya untuk mengadu tentang pengendali yang gagal menguruskan perjalanan mereka mengerjakan umrah.
“Ini jelas menunjukkan bahawa isu ini tidak boleh lagi dibiarkan berlarutan,” katanya.
Sebelum ini MOTAC telah mengadakan sesi libat urus bersama wakil Persatuan Pengendali Umrah iaitu Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) serta Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji (PAPUH).
“Kementerian tiada pilihan selain bertindak tegas bagi melindungi hak dan kepentingan jemaah umrah.
“Kepercayaan rakyat terhadap industri umrah harus dipulihkan dan pengendali yang cuai atau tidak bertanggungjawab tidak akan diberi ruang untuk terus beroperasi.
“Kami menyeru semua pengendali umrah untuk mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.
“Tindakan ini bukan sahaja untuk menjaga kepentingan rakyat tetapi juga untuk memastikan integriti dan kredibiliti industri umrah di Malaysia terus kekal diyakini,” katanya. – Edisi 9

