SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kerajaan Negeri Melaka bekerjasama bagi merintis inisiatif kampung digital iaitu yang pertama di negara ini.
MCMC berkata, Kampung Digital Melaka (KDM) itu merupakan langkah strategik untuk memastikan setiap premis di negeri tersebut dilengkapi dengan alamat yang lengkap dan sistematik.
Suruhanjaya itu berkata, perjanjian yang ditandatangani kedua pihak itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi dan infrastruktur digital yang lebih mampan di Negeri Melaka, serta memberi manfaat besar kepada komuniti setempat.
“Inisiatif Kampung Digital ini adalah yang pertama di Malaysia dengan penggunaan kod QR bertujuan memodenkan sistem alamat rumah di 623 kampung tradisional di Negeri Melaka serta meningkatkan kualiti akses data perkhidmatan rakyat.
“Projek ini telah menerima pengiktirafan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan cap dagangan logo, menjadikannya model kampung digital di seluruh negara,” jelas kenyataan itu.
Majlis pertukaran dokumen perjanjian KDM itu ditandatangani oleh Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad.
Hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Di bawah inisiatif itu, MCMC akan bekerjasama dalam aspek sokongan teknikal di samping perkongsian maklumat dan data untuk pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS).
Katanya, dengan adanya NAS kelak, ia akan menjadi sistem tunggal yang berautoriti, seragam dan berpusat untuk mengurus lebih daripada 12 juta alamat di seluruh negara melalui kerjasama antara pelbagai pihak.
“Projek ini bukan sahaja memberi impak positif kepada Negeri Melaka, malah dijangka menjadi model kepada negeri-negeri lain di Malaysia dalam membangunkan ekosistem digital yang lebih inklusif dan berdaya saing,” jelas MCMC. – Edisi 9