DATUK Seri Najib Razak hari ini diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 25 tuduhan penyelewengan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.
Bekas Perdana Menteri itu diberi tiga pilihan sama ada berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan atau memberi kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.
Manakala pilihan ketiga, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, anak guamnya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan dia akan memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Najib, 71, yang juga bekas Menteri Kewangan didakwa dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi 21 pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, bekas Presiden UMNO itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Minggu lalu, Najib menerusi kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

