BEBERAPA rumah kedai usang yang didiami warga asing diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana disyaki menjalankan kegiatan tidak bermoral dalam satu operasi di Klang, Selangor tengah hari ini.
Dalam serbuan diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha itu, seramai 58 warga asing dan dua warga tempatan diperiksa.
Menurut beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada 30 lelaki dan 28 wanita warganegara Bangladesh, Pakistan, Indonesia, India dan mereka yang tiada negara (stateless).
“Kesemua yang ditahan berumur sekitar 24 hingga 45 dan tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Johor untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya hari ini.
Jafri Embok berkata, modus operandi kegiatan itu adalah dengan menyasarkan warga asing dan penduduk tempatan yang tinggal di kawasan berhampiran sebagai pelanggan tetap.
“Bayaran RM50 hingga RM100 bagi setiap pelanggan dikenakan berdasarkan kepada perkhidmatan yang mereka tawarkan,”katanya.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan di bawah Seksyen 55E.
Iaitu membenarkan mana-mana pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki atau tinggal dalam premis yang hanya mempunyai kepentingan sebagai penyelia atau menguruskan atau mempunyai kawalan ke atas mana-mana premis tersebut dan Seksyen 56(1)(d) iaitu kesalahan melindungi imigran haram. – Edisi 9