YANG Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dianugerahkan pangkat Laksamana Muda Maritim Kehormat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, ini julung kali pangkat tersebut dianugerahkan kepada Yang Di- Pertua Negeri.
“Penganugerahan pangkat kehormat itu sebagai tanda penghargaan kepada Tun Juhar serta kerajaan negeri atas sokongan penuh kepada Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan perairan Sabah sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pemakaian pangkat kehormat berkenaan di Istana Seri Kinabalu, semalam.
Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli
Abdullah serta Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W. P Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik.
Saiful Lizan dalam pada itu turut merakamkan ucapan menjunjung kasih kepada Tun Juhar kerana sudi menerima pangkat kehormat daripada Maritim Malaysia. – Edisi 9