HARGA runcit petrol RON97 dan diesel bagi Semenanjung diturunkan lagi 15 sen bagi tempoh 12 hingga 18 September ini.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, langkah pengurangan harga runcit bahan bakar itu seirinh dengan penurunan harga pasaran minyak mentah dunia dan pengukuhan ringgit.
Dengan pengurangan sebanyak 15 sen itu, RON97 kini dijual pada harga RM3.25 seliter manakala diesel bagi Semenanjung dengan harga RM3.01 seliter.
Sejak 8 Ogos lalu sehingga kini, kerajaan telah menurunkan sebanyak 34 sen seliter bagi harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia, manakala harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 22 sen.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit produk petroleum dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak global dan juga menyokong kestabilan harga bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata MOF dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu harga petrol RON95 dan diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal para paras RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter. – Edisi 9