MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) akan membincangkan cadangan penubuhan sekolah rendah Ulul Albab oleh agensi itu dalam mesyuarat majlis esok.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan penubuhan sekolah tersebut merupakan salah satu resolusi Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir semalam.
“Sekolah rendah Ulul-Albab dicadang untuk MARA tubuhkan bagi melengkapkan ekosistem pendidikan MARA, dalam resolusi Perhimpunan Agung UMNO kelmarin.
“Esok saya bawa dalam mesyuarat Majlis MARA,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau hari ini.
Kelmarin semasa menyampaikan ucapan dasar, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan MARA membuka sekolah rendah bagi memperlengkapkan ekosistem pendidikannya.
Menurutnya, cadangan itu dikemukakan bagi memastikan agenda membangunkan generasi masa hadapan dapat digarap dengan silibus pembangunan modal insan yang mantap.
Ahmad Zahid juga berkata, selaku Pengerusi MARA sudah diarahkan untuk melaksanakan program Ulul Albab di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Menurutnya, matlamat utama adalah untuk memastikan kesemua 57 MRSM dengan kapasiti pelajar sebanyak 37,000 orang, melahirkan generasi mempunyai kekuatan dan kemantapan jiwa bersandarkan al-Quran tanpa meminggirkan hal akademik dan kursus yang telah ditetapkan. – Edisi 9