DATUK Dr Akmal Saleh menganggap anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk yang diterima beliau hari ini bukan untuk dirinya tetapi untuk semua warga Merlimau dan pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu berkata, anugerah yang diberikan sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam ke-75 itu terlalu besar baginya.
Ini kerana, beliau merasakan dirinya masih tidak layak untuk anugerah yang diterima kerana masih banyak kelemahan dan kekurangan jasanya kepada negeri Melaka.
“Terima kasih kepada TYT Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan kerajaan negeri Melaka atas penganugerahan yang diberikan atas diri saya.
“Walaupun saya merasakan diri ini masih lagi tidak layak atas anugerah yang diterima kerana banyak lagi kelemahan dan kurang jasa saya kepada negeri Melaka berbanding dengan orang lain.
“Saya menganggap anugerah ini adalah untuk semua warga DUN Merlimau dan pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,” katanya hari ini.
Seramai 299 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran negeri sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam ke-75 bagi sesi pertama, hari ini.
Dr Akmal berkata, beliau mewakili rakyat DUN Merlimau dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengucapkan terima kasih atas penghargaan yang diberi tersebut.
“Terima kasih dan selamat hari lahir TYT Tun. Moga Allah berikan Tun kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan. Selamanya doktor kampung,” katanya dalam hantaran di Facebooknya. – Edisi 9