MALAYSIA sekali lagi berjaya mengukir kejayaan di persada dunia dengan penyenaraian tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah, Sarawak sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Kali terakhir Malaysia menerima pengiktirafan di bawah program yang sama ialah pada tahun 2012.
Keputusan pengiktirafan ini telah diumumkan pada jam 7 petang waktu tempatan ketika Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia Ke-46 di New Delhi, India.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, pengiktirafan berprestij itu telah diputuskan oleh 21 ahli negara anggota jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan oleh wakil negara India.
“Usaha pencalonan tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah ini telah bermula sejak 2019 di mana dokumen Tentative List telah dihantar kepada pihak UNESCO pada 22 Januari 2021,” kata MOTAC dalam kenyataan hari ini.
Pada 31 Januari tahun lalu, dokumen pencalonan telah dikemukakan secara serahan tangan kepada pihak sekretariat UNESCO di Paris, Perancis.
MOTAC berkata, penyenaraian di bawah Senarai Warisan Dunia UNESCO dikejar oleh seluruh negara di dunia kerana ia merupakan pengiktirafan tertinggi yang dapat diperoleh di peringkat dunia bagi tapak warisan.
Katanya, selain mempromosi dan mengetengahkan tapak warisan negara di peringkat global, pengiktirafan ini turut menunjukkan komitmen Malaysia dalam melindungi tapak-tapak warisan tempatan.
“Secara tidak langsung, pengiktirafan ini juga akan meningkatkan keterlihatan Malaysia di mata dunia sekaligus akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong.
“Ia akan memberikan impak positif kepada industri pelancongan yang berdaya saing serta membuka pelbagai peluang ekonomi melalui industri-industri lain yang berkaitan,” katanya.
Sehingga kini, sebanyak 1,199 tapak dari seluruh dunia telah berjaya diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah 1972 Convention Concerning the Protection of the World Cultural and Natural Heritage.
Secara keseluruhannya Malaysia berjaya menyenaraikan lima Tapak Warisan Dunia UNESCO termasuklah Taman Negara Gunung Mulu (2000), Taman Kinabalu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan George Town (2008) dan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012) selain Kompleks Gua Taman Negara Niah.
“Malaysia juga kini sedang dalam usaha untuk mencalonkan beberapa lagi tapak sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada masa akan datang iaitu FRIM Forest Park Selangor, Taman Negeri Royal Belum dan Pusat Kawalan Kusta Negara,” kata kenyataan itu. – Edisi 9

