Thursday, June 4, 2026

Hormati keputusan di Sungai Bakap, perhebat bantu rakyat – Anwar

Mesti Baca

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, gabungan kerajaan Perpaduan menghormati dan menerima kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang telah berlangsung dengan lancar dan aman, semalam.

Anwar berkata, selaku Perdana Menteri, beliau dengan penuh tawaduk menerima suara rakyat Sungai Bakap yang berlangsung ketika negara sedang meniti fasa penyesuaian dengan gelombang perubahan yang sedang giat dilaksanakan di bawah hala tuju baharu Kerajaan Madani

“Kerajaan Madani menginsafi keputusan ini dengan menggilap azam memperhebat usaha membela nasib rakyat dan sekali gus menjayakan agenda mengangkat martabat dan darjat rakyat serta negara,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

Anwar berkata, dengan dasar dan komitmen yang jitu, gabungan kerajaan Perpaduan akan terus mengukuhkan kesatuan dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif bertepatan dengan realiti hari ini dan anjakan baharu negara yang sedang berjalan.

Dalam PRK DUN Sungai Bakap semalam, Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri tahun lalu dengan memperoleh majoriti lebih besar iaitu 4,627 undi.

Dalam PRK tersebut, calon PN Abidin Ismail, 56, memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.

PRK Sungai Bakap diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff daripada Perikatan Nasional (PN) pada 24 Mei lalu.

Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu menentang calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. Beliau mendapat 15,433 undi. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan