TANGGAL 14 Julai merupakan Hari Kesedaran Yu yang diraikan bagi meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan pemuliharaan spesies yu di seluruh dunia.
Ikan yu sedang menghadapi krisis kepupusan bukan sahaja di Malaysia malahan di peringkat global.
Merujuk kepada Senarai Merah Spesies Terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) kini dianggarkan lebih satu pertiga daripada yu diancam dengan kepupusan.
Aktiviti perikanan yang tidak terkawal mempunyai kesan yang besar terhadap yu dan ancaman ini telah ditambah lagi dengan kehilangan habitat dan perubahan iklim menjadikan yu salah satu spesies yang terancam dalam ekosistem marin.
Populasi yu di Malaysia berdepan dengan ancaman utama iaitu penangkapan ikan secara tidak sengaja oleh nelayan.
Walaupun tidak disasarkan secara khusus oleh nelayan, ikan yu secara tidak sengaja ditangkap bersama spesies komersial yang lain.
Ikan yu juga diburu bagi mendapatkan sirip dan bahagian-bahagian lain yang mempunyai nilai tinggi di pasaran selain daripada dimakan sebagai makanan tradisional dan digunakan dalam pelbagai makanan yang diproses.
Penangkapan ikan secara berlebihan dan penggunaan peralatan menangkap ikan yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan kerajaan juga mendorong kepada berkurangnya populasi ikan yu dan memusnahkan habitatnya.
Pertumbuhannya yang perlahan, pembiakan yang lambat berbanding dengan ikan lain dan pengeluaran anak yang terhad juga akan akan memberi kesan kepada ekosistem marin.
Perubahan suhu air lautan turut mendorong kepada berkurangnya populasi ikan yu di sesuatu kawasan tersebut.
Yu merupakan pemangsa yang berada di rantaian makanan teratas dan berperanan dalam mengimbangi ekosistem serta menstabilkan rantaian makanan di laut dengan memakan mangsa yang lemah, sakit atau yang bersaiz kecil supaya bilangannya tidak terlampau banyak sehingga dapat memberi kesan negatif terhadap ekosistem laut.
Yu juga dapat membantu penghasilan rumput laut yang lebih subur dan sekata seterusnya mengekalkan penyimpanan karbon di dasar laut dengan cara mengawal populasi dugong dan penyu semasa aktiviti meragut rumput laut.

Selain itu, yu dapat meningkatkan kebolehan ekosistem terumbu karang menyimpan karbon dengan memburu ikan herbivor di kawasan tersebut.
Di Malaysia sebanyak 69 spesies yu yang telah direkodkan dan berdasarkan data pendaratan yu oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), spesies yu yang paling banyak ditemui di Malaysia ialah Yu Cicak (Chiloscyllium punctatum).
Spesies ini ditangkap secara tidak sengaja semasa aktiviti perikanan kerana ia bukanlah spesies ikan yang disasarkan untuk dijual.
Pada tahun 2023, pendaratan yu di perairan Malaysia adalah sejumlah 4,113 tan metrik menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tahun 2022 iaitu 3,439 tan metrik dan pada 2021 sebanyak 3,993 tan metrik.
Merujuk data pendaratan 2023, Yu kepak hitam (Carcharhinus sorrah) spesies paling tinggi mendarat iaitu 436 tan metrik, yu cicak lampai (Chiloscyllium hasseltii) 289 tan metrik dan yu-cicak insang putih
(Chiloscyllium punctatum) 284 tan metrik serta yu padi (Scoliodon laticaudus) 145 tan metrik.
DOF telah menyenaraikan lima (5) spesies ikan yu sebagai spesies ikan yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu yu paus (Rhyncodon typus Smith), yu sirip putih besar (Carcharhinus longimanus), yu tukul rata (Sphyrna zygaena), yu tukul parang lekuk (Sphyrna mokarran) dan yu tukul palang (Eusphyra blochii).
Kerajaan juga telah melancarkan Kempen ‘Tak Nak Sirip Ikan Yu’ bermula tahun 2014 dan mengharamkan sajian sup sirip ikan yu dalam semua acara rasmi kerajaan.

Jabatan juga mengambil inisiatif melindungi ikan yu dengan mengadakan latihan pengecaman spesies ikan yu kepada agensi penguatkuasaan dan nelayan selain daripada mengedarkan poster-poster kesedaran kepada orang awam.
Kerjasama bersama badan bukan kerajaan (NGO) serta universiti tempatan juga diadakan bagi menjalankan penyelidikan untuk mengetahui status populasi ikan yu di Malaysia.
Habitat dan tempat pembiakan yu yang dikenalpasti mempunyai populasi tinggi akan dicadangkan sebagai kawasan perlindungan penting bagi ikan yu.
Usaha konservasi diperkukuh lagi dengan bantuan NGO tempatan dalam memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti di Malaysia.
NGO seperti World Wildlife Fund (WWF) dan Marine Research Foundation (MRF) antara entiti yang aktif dalam menjalankan kempen kesedaran serta pengumpulan maklumat berkaitan ikan yu
melalui penyelidikan yang dijalankan di Malaysia.
Jabatan juga turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain di Malaysia untuk membanteras kegiatan pemburuan perdagangan haram bagi ikan yu yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.
Pelan Tindakan Kebangsaan Pengurusan dan Pemuliharaan Yu (Pelan 3) yang bakal diterbitkan merupakan bukti komitmen Jabatan dalam pengurusan spesies akuatik terancam di Malaysia ini dengan bersandarkan kepada peraturan dan dasar yang berkaitan.
Masyarakat sering didedahkan dengan sifat ganas yu yang akan menyerang manusia di lautan namun ikan yu kebanyakannya tidak berbahaya kepada manusia kerana bukan sebahagian daripada diet semula jadi mereka.
Tetapi jika ia melihat percikan air di lautan, sifatnya yang keliru dan ingin tahu menyebabkan ia cuba menyiasat, membawa kepada serangan tidak sengaja kepada manusia.
Ikan yu mempunyai diet memakan ikan yang lebih kecil dan invertebrata manakala bagi spesies yang lebih besar akan memburu anjing laut, singa laut dan mamalia marin yang lain.
Pendidikan dan kesedaran terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan yu memerlukan pengetahuan, kefahaman, perubahan sikap dan penglibatan sesuatu kelompok masyarakat.
Melalui pendidikan dan program kesedaran awam yang diberikan kepada orang awam di setiap peringkat umur dapat meningkatkan lagi pemahaman mereka terhadap peranan ikan yu dalam menstabilkan ekosistem marin lantas meningkatkan kesedaran tentang kepentingan untuk memuliharanya.
DOF melalui Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) di Terengganu menjalankan penyelidikan saintifik dan pengumpulan maklumat berkenaan ikan yu dan pari di Malaysia.
Maklumat-maklumat ini amat penting dalam membantu pihak pengurusan merancang dan melaksanakan pelan tindakan pemeliharaan dan pengurusan ikan yu di negara ini.
Masyarakat setempat juga dapat membantu melindungi ikan yu dengan mengambil tindakan lebih berhati-hati dan tidak mencederakan atau mengganggu yu yang ditemui ketika menjalankan aktiviti di laut.
Orang awam boleh membantu usaha konservasi dengan tidak memilih makanan yang berasaskan sirip yu di restoran.
Jika jika terdapat sebarang kes penangkapan atau kedamparan spesies ikan yu, orang ramai boleh menghubungi Fishcom DOF di talian 03-88704058. – Edisi 9

