Tuesday, July 21, 2026

TFC batal perjanjian dengan XFOX, pulangkan wang tajaan

Mesti Baca

TERENGGANU FC (TFC) dan XFOX Market Holdings Sdn Bhd mencapai kata sepakat hari ini untuk membubarkan perjanjian tajaan bernilai RM1.5 juta demi keharmonian pasukan.

TFC berkata, tajaan bagi kejohanan Piala Shoppe AFF yang dimeterai pada 9 Jun itu ditamatkan secara bersama tanpa sebarang tuntutan antara kedua-dua pihak. 

Katanya, ia dibuat agar kelab dapat mengharungi pelbagai cabaran mendatang tanpa sebarang isu setelah banyak tohmahan muncul terhadap pasukan susulan tajaan itu.

“Pihak TFC akan memulangkan kembali bayaran penajaan pihak syarikat penaja sebanyak RM1.5 juta yang telah selesai dilunaskan penaja,” jelas kenyataan itu hari ini.

Menurut TFC, dalam tempoh berbaki, pihak pengurusan kelab Pantai Timur itu akan terus berusaha untuk mendapatkan penaja bagi kejohanan berkenaan.

“Semoga dengan keputusan ini akan memberikan keharmonian buat TFC, XFOX dan semua penyokong-penyokong kelab,” katanya.

Menjelaskan perkara itu, TFC berkata, proses memuktamadkan penajaan itu dilakukan sepertimana kelaziman sebagaimana penaja-penaja lain. 

Katanya, TFC bersetuju bekerjasama dengan XFOX setelah melihat dan menyaksikan sendiri operasi perjalanan syarikat khususnya XFOX Arena di Subang Bestari yang menyediakan Padang Bola Sepak Sintetik yang dilihat bersesuaian dengan perjalanan TFC sebagai sebuah kelab bola sepak. 

“Walau bagaimanapun, kerjasama ini dipandang dari sudut yang berbeza oleh pelbagai pihak. Malah TFC juga mendapat simpati daripada pihak penaja dengan suasana ini,” tambah beliau.

Dua hari lalu, TFC menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan XFOX sebagai penaja utama kelab tersebut bagi mengharungi kejohanan Juara-juara Kelab ASEAN musim ini.

Bagaimanapun pelbagai pihak menyatakan bantahan terhadap penajaan bernilai RM1.5 juta itu berikutan syarikat berkenaan didakwa mempunyai kaitan dengan penipuan pelaburan.

Oktober tahun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati individu yang menyertai skim pelaburan ‘Xfox Mix Biz’ diminta tampil kepada pihak polis untuk membantu siasatan bersabit kes penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, satu laporan polis diterima pihaknya daripada seorang pengadu yang mendakwa nama dan logo syarikatnya telah digunakan bagi mempromosikan skim pelaburan tersebut.

Menurutnya, pengadu menafikan pengetahuan mahu pun penglibatan syarikatnya dengan skim pelaburan tersebut. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan