SINDIKET penyeludupan migran menggunakan motosikal tumpas dengan penangkapan dua lelaki tempatan dan 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibawa masuk ke negara ini melalui laluan haram.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tangkapan tersebut hasil operasi khas yang dijalankan sekitar 5.20 pagi 10 Jun lalu di Kubang Kerian dan Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan, seramai 19 anggota Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat dengan bersama Unit Risik Sempadan JIM Negeri Kelantan telah digerakkan bagi mengesan sekumpulan PATI yang dipercayai baru memasuki negara melalui pangkalan haram di sempadan.
“Lanjutan itu, pasukan operasi bertindak menyerbu sebuah rumah transit dan berjaya menahan seramai empat lelaki warganegara Bangladesh.
“Turut ditahan adalah seorang wanita warganegara Thailand dan dua lelaki warganegara India yang dijumpai berada dalam kereta transporter yang cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan dari tangkapan ini, Ruslin berkata, pasukan berjaya memperoleh maklumat mengenai pergerakan transporter bermotosikal dipercayai cuba memindahkan PATI ke Terminal Bas Ekspres Lembah Sireh.
Katanya, pasukan bergegas ke lokasi sasaran dan berjaya menahan dua lelaki tempatan, masing-masing sedang membonceng seorang lelaki warganegara Myanmar.
“Cubaan seorang penunggang motosikal untuk melarikan diri berjaya dihalang oleh anggota operasi dan kedua-dua motosikal disita untuk tindakan jabatan,” katanya.
Beliau berkata, pasukan operasi turut memeriksa kawasan sekitar terminal dan berjaya menahan seramai 24 orang PATI terdiri daripada 17 lelaki dan tujuh perempuan warga asing dipercayai sedang menunggu bas untuk dibawa ke destinasi yang ditetapkan.
Sindiket dipercayai telah mengubah modus operandi dengan merekrut penunggang motosikal untuk membawa keluar PATI dari rumah transit ke terminal bas ekspres.
Katanya, taktik itu dipercayai untuk mempercepatkan pergerakan PATI ke destinasi di luar Kelantan serta mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kumpulan sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 kepada PATI untuk semua urusan berkaitan emasukan mereka ke negara ini.
Kesemua 33 PATI yang terdiri daripada 5 perempuan dan 6 lelaki warganegara Thailand, 2 perempuan dan 5 lelaki warganegara Myanmar, 12 lelaki warganegara Bangladesh, 2 lelaki warganegara India dan seorang perempuan warganegara Indonesia berumur di antara 20 hingga 50 tahun ditahan kerana tinggal lebih masa dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.
Manakala dua orang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM)2007 dan semua kenderaan disita untuk siasatan lanjut jabatan. – Edisi 9

