Wednesday, July 22, 2026

Muhyiddin kekal Presiden Bersatu, jawatan lain dipertandingkan

Mesti Baca

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setelah jawatan itu tidak dipertandingkan dalam Perhimpunan Agung parti itu November ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan itu dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti dalam mesyuarat yang diadakan malam tadi.

Beliau berkata, MPT mematuhi ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu pada 25 November 2023 yang sebulat suara memutuskan Muhyiddin kekal sebagai Presiden bagi pemilihan akan datang.

“Bersatu juga kekal mengikut Perlembagaan parti bagi pertandingan untuk jawatan-jawatan lain, dengan calon yang berhasrat untuk bertanding pada pemilihan Oktober ini perlu memohon kepada Majlis Pimpinan Tertinggi selari dengan Fasal 14.14 dan 14.16 Perlembagaan Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata, parti itu turut melantik Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin sebagai Ketua Bahagian (Penaja) Putrajaya manakala Abdullah Omar Bledram sebagai Ketua Bahagian (Penaja) Labuan yang baharu.

Mengenai kedudukan tujuh wakil rakyat Bersatu yang berpaling tadah, Hamzah berkata, MPT telah mengarahkan beliau untuk membuat tindakan susulan.

“Pada masa yang sama, mesyuarat turut membincangkan banyak perkara melibatkan situasi terkini ekonomi negara, beban kos sara hidup rakyat yang tiada penyelesaian, isu penyasaran subsidi bahan api oleh kerajaan serta senario semasa politik negara yang meresahkan,” katanya.

Mengenai pemilihan parti, Hamzah berkata, MPT telah menetapkan tarikh-tarikh persidangan cawangan bermula 20 Julai hingga 31 Ogos dan persidangan bahagian pula pada 12 hingga 26 Oktober.

Sementara Perhimpunan Agung Sayap Bersekutu dan Srikandi Muda akan diadakan pada 28 November diikuti Perhimpunan Agung Sayap Armada dan Srikandi pada 29 November 2024 serta Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada 30 November hingga 1 Disember 2024. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan