MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) melanjutkan tempoh permohonan secara dalam talian di bawah Program Pembangunan Bakat Muda (YTP) bagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga 12 tengah hari esok.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tawaran pinjaman pendidikan tersebut yang dibuka sejak 27 Mei lalu sepatutnya berakhir pada hari ini.
“Saya sudah minta pengurusan MARA untuk lanjutkan permohonan atas talian untuk YTP bagi pelajar cemerlang SPM ke universiti dalam dan luar negara sehingga pukul 12 tengah hari esok Selasa, 11 Jun 2024,” katanya hari ini.
Beliau berkata, tawaran pinjaman kepada pelajar cemerlang SPM 2023 itu bagi membolehkan mereka melanjutkan penganian di institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam dan luar negara dari peringkat persediaan hingga ke ijazah sarjana muda.
Para pelajar cemerlang yang berminat untuk memohon YTP boleh membuat permohonan dengan melayari laman web https://www.mara.gov.my/young-talent-development-programme-ytp-2/
Berdasarkan keputusan SPM 2023 yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia pada 27 Mei lalu, seramai 11,713 calon atau 3.1 peratus memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata, angka itu menunjukkan peningkatan lebih baik berbanding tahun sebelum ini iaitu 10,109 calon atau 2.7 peratus.
Manakala seramai 1,100 calon SPM 2023 bagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pula memperoleh semua A (A+,A dan A-) dalam peperiksaan itu berbanding 1,006 calon pada tahun sebelumnya.
MARA berkata, bilangan calon yang memperoleh semua A+ pula meningkat kepada 44 orang berbanding 34 pada 2022. – Edisi 9

