Friday, July 24, 2026

Awas! Perangkap ‘kad jemputan kahwin’ dengan fail .APK

Mesti Baca

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan amaran berhubung taktik penjenayah yang mencuri data termasuk mengakses maklumat kewangan menerusi ‘kad jemputan perkahwinan’ dengan fail Android Package Kit (.APK)

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, taktik tersebut digunakan sejak pertengahan tahun lalu menerusi penyebaran kad jemputan tersebut yang ditanam dengan perisian hasad (malware).

Beliau berkata, hasil siasatan polid mendapati mesej jemputan perkahwinan tersebut biasanya akan dihantar oleh penjenayah yang menyamar sebagai kenalan mangsa.

“Sekiranya mangsa membuat turun dan memasang aplikasi tersebut, penjenayah akan memperoleh akses penuh terhadap telefon mangsa tanpa disedari.

“Akses ini akan membolehkan penjenayah mencuri data milik mangsa malahan boleh mengakibatkan mangsa mengalami kerugian wang ringgit,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ramli berkata, pihaknya percaya taktik itu menyasarkan mangsa dalam kalangan individu yang kurang pengetahuan berkaitan teknologi.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai agar waspada dan tidak memuat turun sebarang fail aplikasi .APK yang diterima melalui mesej, e-mel dan seumpamanya.

“Adalah dinasihatkan sebarang muat turun fail aplikasi ke telefon pintar hanyalah dilakukan melalui platform yang selamat seperti Google Play dan App Store sahaja,” katanya.

Awal tahun lalu, pihak polis berjaya menahan sekumpulan tujuh lelaki yang menggunakan platform jual beli barang untuk memperdayakan orang ramai memuat turun fail .APK sebelum bertindak “menyedut” duit mangsa.

Kegiatan itu terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan di dua unit premis di Jalan Tun Razak di ibu negara.

Mereka terdiri daripada tiga warga tempatan dan empat warga asing, masing-masing berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun ditahan oleh sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan