KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM2.3 juta kepada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) bagi pelaksanaan program perpaduan bagi tahun ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, daripada jumlah itu RM800,000 untuk pengurusan operasi manakala RM1.5 juta untuk pelaksanaan program.
Menurut beliau, dana tersebut akan memperkasakan lagi usaha melahirkan lebih ramai sukarelawan siswa (Volunteer Leaders) dan memperkukuh keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Saya berharap agar YSS akan terus berusaha menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa selaras dengan slogan Perpaduan melalui Sukarelawan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmian Mesyuarat Agung Yayasan Sukarelawan Siswa Ke-12 di Putrajaya, semalam.
Aaron berkata, kementerian komited untuk menjadikan Malaysia sebagai Hub Kesukarelawanan.
Katanya, inisiatif ini termasuklah pelaksanaan tujuh misi sukarelawan siswa dalam dan luar negara, pelantikan Duta Perpaduan dan Ikon Perpaduan, serta pembangunan Dasar Kesukarelawan Nasional.
Sebagai rekod, YSS telah berjaya menganjurkan persidangan The International Volunteer Cooperation Organisations (IVCO) diperingkat antarabangsa pada tahun 2023 serta dua misi sukarelawan siswa ke Sabah dan Sarawak dan Festival Sama-Sama.
Aaron berkata, prestasi tersebut bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan antara komuniti tempatan, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sosial dan kebudayaan negara.
Dalam majlis itu beliau turut mengumumkan barisan kepimpinan baharu YSS bagi sesi 2024-2026 dengan diketuai oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom sebagai Pengerusi menggantikan Prof Emerita Tan Sri Dr Mazlan Othman.
Beliau menaruh keyakinan tinggi terhadap barisan kepimpinan baharu ini dalam meneruskan tradisi kecemerlangan YSS dan memastikan kesinambungan kejayaan organisasi. – Edisi 9