28.2 C
Kuala Lumpur
Friday, June 14, 2024

Awas ‘scammer’ badal, visa dan pakej haji!

Mesti Baca


Oleh PROF MADYA DR MOHD ANUAR RAMLI

LAPORAN sejumlah warga Malaysia yang terkandas di Mekah kerana ingin mengerjakan haji tanpa visa haji sangat mengejutkan.

Ditambah lagi dengan skandal yang melibatkan pakej badal haji yang meragukan, dan pakej haji yang mengelirukan.

Di samping itu, terdapat juga segelintir jemaah umrah yang tidak kembali ke tanah air pasca mengerjakan ibadat umrah untuk meneruskan ibadah haji tanpa visa haji.

Di negara jiran dilaporkan bahawa sejumlah 100,000 jemaah umrah tidak kembali ke Indonesia kerana ingin meneruskan ibadah haji.

Secara asasnya, setiap tahun wujud isu yang berulang, iaitu adanya rangkaian jenayah dalam perlaksanaan rantaian ibadah haji.

Jelas, bahawa minda jenayah akan melihat setiap peluang dan ruang yang ada walaupun ia melibatkan ibadat yang disyariatkan Allah SWT.

Ia adalah peluang perniagaan yang lumayan kerana melibatkan jumlah keuntungan yang besar.

Keterujaan umat Islam dalam memenuhi tuntutan ibadah haji, telah membuka ruang kepada pelbagai bentuk penipuan.

Golongan penipu pula menjanjikan bulan dan bintang dengan harga yang mampu dibayar oleh pengguna.

Pertama, penipuan berkaitan dengan perkhidmatan badal haji. Dalam Islam, haji merupakan rukun Islam yang kelima.

Ia adalah kewajipan bagi setiap orang Islam yang mampu secara fizikal, kewangan dan keselamatan.

Jadi orang yang tiada kemampuan mengerjakan ibadah haji kerana alasan kesihatan atau telah meninggal sebelum sempat mengerjakan haji, ahli waris boleh memanfaatkan perkhidmatan badal haji.

Berikutan permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan badal haji, banyak pihak berlumba-lumba menawarkannya kepada umat Islam.

Mereka mengambil kesempatan di sebalik ketulusan waris atau keluarga yang ingin melaksanakan badal haji.

Modus operandi biasa yang digunakan adalah dengan menawarkan harga yang murah dan tidak masuk akal, iaitu antara RM2,000 hingga RM3,000.

Pihak penyedia pakej badal haji hanya menyertakan sekeping gambar berserta cenderamata tanda ibadah badal haji telah disempurnakan tanpa bukti kukuh bahawa ia telah dilaksanakan.

Dalam hal ini, harga khidmat badal haji yang ditawarkan adalah tidak realistik.

Bayangkan jumlah bayaran pakej haji oleh Tabung Haji bagi golongan B40 buat masa ini adalah RM12,356 (hanya 37 peratus daripada keseluruhan harga RM33,300).

Seorang jemaah haji wanita memegang kertas ‘badal haji’ di lokasi sekitar Arafah. – Sumber: Facebook

Ditambah lagi keperluan memiliki visa dan permit (tasrih) haji. Visa haji diperolehi secara percuma melalui kuota yang ditetapkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi kepada kerajaan Malaysia, manakala visa furada atau mujamalah dikenakan jumlah bayaran tertentu.

Bagi penduduk tempatan atau visa berbayar, bayaran permit haji boleh mencapai harga SAR4,000 dan lebih. Jumlah ini belum merangkumi kos pengangkutan, penginapan dan makanan serta upah.

Jadi bagaimanakah pihak ‘scammer’ boleh menawarkan harga pakej badal haji yang tidak munasabah?

Sama ada ingin menggunakan jemaah badal haji dari Malaysia, atau warga asing, atau penduduk setempat di Mekah dan Madinah, atau pekerja asing atau pelajar di sana, harga yang ditawarkan oleh pengendali tersebut adalah tidak masuk akal.

Ini disebabkan ibadah haji hanya boleh dilakukan sekali sahaja dalam satu musim haji. Berbanding dengan badal umrah, ia boleh dilakukan berulang kali dalam tempoh sehari.

Namun begitu, golongan ‘scammer’ (penipu) juga licik dalam memanipulasikan harga. Mereka boleh juga menawarkan harga yang mahal, tetapi badal haji tidak juga dilaksanakan.

Advertisements

Kedua, penipuan visa haji. Setiap tahun Tabung Haji akan memperolehi jumlah kuota haji yang khusus daripada kerajaan Arab Saudi.

Di samping visa rasmi tersebut, terdapat juga visa mujamalah dan visa furada yang dikeluarkan oleh kedutaan Arab Saudi. Ia melibatkan budi bicara dan jumlahnya sangat terhad.

Perniagaan visa haji sangat menguntungkan bagi pihak ketiga kerana ia ibarat berniaga atas angin, tanpa modal yang besar tetapi boleh dijual kembali kepada pengguna dengan harga berlipat ganda.

Sebagaimana kita sedia maklum, permintaan visa haji sentiasa tinggi pada setiap tahun.

Ketiga, penipuan pakej haji. Dalam hal ini, ada beberapa situasi. Kes pertama, ada jemaah yang tertipu dengan tawaran visa furada atau visa mujamalah oleh syarikat tetapi ia adalah visa palsu.

Mereka ditipu dengan menggunakan visa pelancong untuk ke Tanah Suci. Dengan visa pelancong, mereka boleh masuk ke Tanah Haram, tetapi bila kemuncak pelaksanaan ibadah haji, pihak berkuasa Arab Saudi akan mengawal ketat kawasan ibadah haji.

Mereka terperangkap apabila ingin melakukan ibadah haji kerana visa yang dipalsukan oleh syarikat. Umpamanya pada tahun 2022, sebanyak 132 laporan polis dilakukan berkaitan kes penipuan pakej haji menggunakan visa furada yang melibatkan kerugian sebanyak RM5.67 juta.

Kes kedua, ada percubaan yang dirancang oleh kedua pihak sama ada syarikat dan jemaah yang cuba menggunakan helah tertentu bagi mengerjakan haji. Mereka bersepakat untuk berangkat mengerjakan haji dengan menggunakan visa pelancong atas risiko masing-masing.

Setakat hari ini, dilaporkan seramai 300 orang jemaah yang terkandas di Mekah. Mereka tidak boleh bergerak bebas kerana risiko tertangkap oleh pihak berkuasa.

Mereka pergi menggunakan visa pelancong dan dijanjikan oleh penyedia pakej untuk mendapatkan visa haji di sana. Mereka kini terperangkap dalam bangunan hotel.

Selain itu, keghairahan umat Islam melaksanakan ibadah haji secara DIY (persendirian) turut menyumbang kepada peningkatan kes penipuan di musim haji. Apabila haji DIY mereka terkandas, ia meninggalkan pengalaman ngeri buat mereka.

Sebaliknya, jika Haji DIY berjaya, mereka akan berkongsi segala tips dan strategi kepada masyarakat pasca pulang dari mengerjakan haji.

Hakikatnya, ibadah haji menjanjikan pulangan berstatus mabrur. Tetapi jika ia dilakukan dengan melanggar peraturan dan arahan pemerintah setempat dan Arab Saudi, di samping melangkaui konsep “kemampuan” yang telah ditetapkan Islam, ia boleh memberi implikasi sebaliknya.

Dalam al-Quran, surah Ali Imran, ayat 97, Allah SWT menegaskan: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan Baitullah, iaitu sesiapa mampu sampai kepadanya.”

Berdasarkan ayat ini, ulama menggariskan kemampuan sebagai syarat bagi mengerjakan haji. Namun begitu, jika seseorang Muslim tidak mampu mengerjakannya, maka kewajipan terhadapnya akan terangkat.

Perbuatan menipu dalam perniagaan juga adalah dilarang dengan tegas dalam Islam. Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya para peniaga akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur.” (HR al-Tirmizi)

Jemaah umrah sedang melakukan tawaf mengelilingi kaabah di Masjidilharam, Mekah. – Foto Edisi 9

Dalam penawaran pakej badal haji yang palsu, penipuan dan pemalsuan visa serta pakej haji adalah termasuk dalam urusniaga yang dilarang syarak. Apatah lagi ia dilakukan dalam bulan-bulan yang haram seperti Zulkaedah dan Zulhijjah, maka tentunya balasan azab dan dosanya adalah berganda.

Begitu juga dalam kes penipuan visa pelancong dan umrah untuk mengerjakan ibadah haji, ia turut dilarang.

Bahkan, dari segi perundangan Arab Saudi, orang yang ditangkap kerana tidak mempunyai visa dan permit haji akan dikenakan denda sebanyak SAR10,000 dan akan dihantar kembali ke negara asal, disenarai hitam, serta tidak dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji dan umrah dalam satu tempoh tertentu.

Sehubungan dengan itu, dalam beribadah, carilah keberkatan dan keredaan Allah SWT agar memperolehi ibadah mabrur. Patuhilah arahan dan peraturan yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

Jangan menimbulkan persepsi yang buruk kepada pihak kerajaan dan Tabung Haji yang berusaha memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada jemaah.

Bagi individu yang mendapat visa furada, mereka boleh menggunakan perkhidmatan syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berlesen agar tidak tertipu. Bagi umat Islam, jangan terpedaya dengan penawaran pakej badal haji yang tidak munasabah.

Pilih dan telitilah khidmat badal haji yang dipilih dengan terperinci dan berintegriti agar tidak menjadi mangsa aktiviti ‘scammer’. Sesungguhnya, rantaian jenayah ini perlu diputuskan. Semoga semua tetamu Allah memperolehi haji mabrur.


Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Advertisements

Terkini

Maritim Malaysia laksana pelbagai langkah pertingkat integriti

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan integriti dalam kalangan warganya. Agensi itu pada masa sama...

Lagi Artikel Berkaitan