30.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 12, 2024

Sindiket jual kosmetik haram oleh wanita warga asing tumpas

Dalang utama iaitu seorang perempuan warganegara Indonesia berusia lingkungan 50 tahun turut ditahan

Mesti Baca

JABATAN Imigresen Malaysia berjaya menumpaskan satu sindiket penjualan produk kosmetik dan kecantikan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu Operasi Khas di sekitar Setapak, Kuala Lumpur dan sekitar Ampang, Selangor pada 25 April lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi bermula pukul 12.15 tengah hari melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Pegawai Penguatkuasa (Farmasi), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan selama tiga minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke tiga buah premis dan telah menahan ‘dalang utama’ iaitu seorang perempuan warganegara Indonesia berusia lingkungan 50 tahun.

“Turut ditahan seorang lelaki warganegara Indonesia dan seorang perempuan warganegara Indonesia berusia 25 dan 35 tahun yang dipercayai berperanan sebagai ‘promoter online’ produk kosmetik dan kecantikan.

“Hasil semakan awal mendapati, seorang perempuan warganegara Indonesia yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sahlaku, seorang perempuan warganegara Indonesia tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini dan seorang lelaki warganegara Indonesia telah tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara warga asing yang ditahan kerana menjalankan aktiviti perniagaan secara haram serta tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas. – Foto: FB JIM

Ruslin berkata, pasukan operasi telah merampas produk kosmetik dan kecantikan pelbagai jenama, dua naskhah pasport Indonesia, wang tunai sebanyak RM3,263 dan IDR3,271,000.

Advertisements

Katanya, modus operandi sindiket adalah membawa masuk produk kosmetik dan kecantikan secara haram untuk dijual kepada pelanggan secara dalam talian melalui ejen dengan harga RM159 setiap satu.

“Sindiket ini menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan produk kosmetik dan kecantikan serta dipercayai telah beroperasi selama enam bulan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Semenyih.

Manakala seorang lelaki warganegara tempatan pula, katanya, diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Katanya, warganegara asing tersebut juga akan disiasat oleh pihak KKM kerana disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Jabatan Imigresen Malaysia akan bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.

Advertisements

Terkini

Pengundi Melayu di Kuala Kubu Baharu mula berubah sikap

KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menyaksikan pengundi Melayu mula berubah sikap terhadap...

Lagi Artikel Berkaitan