26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Rumah terbuka: KPKM jamin bekalan makanan asas mencukupi

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan makanan asas mencukupi sepanjang bulan Syawal ini.

KPKM dalam kenyataannya berkata, keyakinan itu selari dengan keupayaan pengeluaran domestik komoditi makanan utama negara oleh para petani, pesawah, peladang, penternak dan nelayan sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Manakala bekalan komoditi makanan yang terhad pengeluaran domestiknya pula, katanya, akan ditampung melalui pengimportan bekalan makanan untuk keperluan pengguna di pasaran.

“Tradisi mengadakan rumah terbuka sepanjang bulan Syawal merupakan kelaziman bagi rakyat Malaysia. Tradisi rumah terbuka ini bukan sahaja dianjurkan oleh individu dan keluarga, malah turut dianjurkan oleh sektor awam, korporat, perniagaan, komuniti dan NGO.

“Oleh itu, jumlah penggunaan bekalan makanan asas dalam kuantiti yang besar diperlukan sepanjang tempoh tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.

Advertisements

Sehubungan itu, katanya, sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap keterjaminan bekalan makanan negara, KPKM akan terus memberikan perhatian sepanjang bulan Syawal ini terhadap lapan komoditi makanan utama yang ditetapkan dalam Dasar Agromakanan
Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Ini meliputi bekalan beras, ayam, telur, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut dan susu segar bagi memastikan ia mencukupi untuk keperluan pengguna.

Jelas kementerian itu, kebolehcapaian komoditi makanan utama itu juga akan disokong oleh outlet pemasaran di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),
selain pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara.

“Dalam masa yang sama, KPKM menggalakkan amalan penggunaan bekalan makanan mengikut keperluan bagi mengelakkan sebarang bentuk pembaziran makanan, khususnya dalam tempoh penganjuran rumah terbuka di bulan Syawal ini,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan