28.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 12, 2024

Tiga ejen ditahan eksploitasi empat wanita Indonesia

Mesti Baca

TIGA ejen ditahan manakala empat wanita warganegara Indonesia berjaya diselamatkan dalam satu operasi Jabatan Imigresen Malaysia di sebuah rumah di Petaling Jaya, malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan wanita warga tempatan serta seorang wanita warganegara Indonesia.

Beliau berkata, serbuan yang dijalankan di sebuah rumah kediaman bermula pada pukul 10.30 malam itu hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan.

“Fokus operasi adalah bagi mengesan individu terlibat yang dipercayai bertindak sebagai ejen pemerdagangan manusia dan seterusnya menyelamat mangsa-mangsa yang diperdagangkan.

“Hasil serbuan telah menyelamatkan empat wanita warganegara Indonesia berumur lingkungan 31 hingga 51 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Empat wanita yang dieksploitasi sebagai pembantu rumah diselamatkan.

Ruslin berkata, operasi serbuan menggunakan pendekatan siasatan awal bagi pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI 2.0).

Hasil pengenalpastian awal mendapati kesemua mereka menjadi mangsa eksploitasi berkait dengan penipuan pekerjaan, tidak dibayar gaji atau upah, pergerakan dikawal serta pasport dipegang.

Advertisements

“Hasil siasatan awal juga mendapati semua mangsa dieksploitasi dan ejen tersebut disyaki telah melakukan kesalahan pemerdagangan orang.

“Ejen ini aktif menjalankan aktiviti mengurus kemasukan, merekrut dan menawarkan perkhidmatan pembantu rumah serta menempatkan mangsa di sebuah rumah dalam kawalannya,” katanya.

Ejen itu juga menawarkan khidmat pembantu rumah dengan bayaran sebanyak RM14,000 hingga RM20,000 termasuk menjanjikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikatakan boleh diuruskannya.

Katanya, urusan dengan bakal majikan dibuat dengan menghantar gambar pendaftaran syarikat, gambar pembantu rumah dan pasport melalui aplikasi Whatsapp dan mengatur perjumpaan jika bakal majikan ingin meneruskan pengambilan pembantu rumah.

Ini jelas beliau, dilakukan bagi meyakinkan bakal majikan bahawa segala urus niaga tersebut adalah dibuat melalui cara yang sah oleh agensi pekerjaan berdaftar.

“Ejen ini telah menjalankan aktiviti sejak empat tahun lepas dan dipercayai boleh mengaut keuntungan dianggarkan antara RM80,000 hingga RM90,000 setahun,” katanya.

Ruslin berkata, kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670). – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sukuk wakalah Samaiden terima penarafan RAM

SAMAIDEN Group Berhad, pakar tenaga boleh diperbaharui (RE) yang terlibat terutamanya dalam kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (“EPCC”) dan...

Lagi Artikel Berkaitan