TINDAKAN rangkaian kedai serbaneka, KK Super Mart yang menjual stokin tertera kalimah “ALLAH” membawa padah apabila bakal berdepan tindakan boikot oleh pengguna khususnya mereka yang beragama Islam.
Sedar tindakan boikot umat Islam memberi kesan besar kepada perniagaan mereka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) tampil segera memohon maaf atas penjualan stokin jenama Miranosock tersebut.
Malahan menurut kenyataan KK Super Mart, penjualan produk tersebut yang dikesan dijual di KK Super Mart, Bandar Sunway, Petaling Jaya itu sudah pun dihentikan.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh tetap tidak berpuas hati dan mendesak pengguna memboikot rangkaian kedai serbaneka tersebut.
“Buat dulu lepas tu minta maaf. Semudah itu sahaja.
“Kalau Starbucks kita boleh boikot sampai tutup, apatah lagi pasar raya ini,” katanya menerusi Facebook beliau malam tadi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menegaskan, sikap menghormati dalam hal ini kepada umat Islam bukan hanya sekadar memohon maaf.
Tetapi katanya, apa yang lebih penting adalah tahu apa itu nilai dan sensitiviti orang lain.
“Kita ajar kepada yang kurang ajar. Kasi jadi!,” katanya.
Nada serupa dilontarkan ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy yang mengajak pengguna turut memboikot produk-produk edaran Xin Jian Chang Sdn Bhd, vendor produk stokin tersebut.
“Game on. Tiada lagi pembelian KK Super Mart. Tiada lagi pembelian produk dari Xin Jian Chang Sdn Bhd.
“Ada sesiapa tahu tak apa lagi produk dari syarikat ni ya? Biadab,” katanya juga menerusi Facebook beliau. – Edisi 9