27.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Petra jawab dakwaan PAC sistem amaran banjir tidak berbaloi

Mesti Baca

PROGRAM Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) bernilai RM129 juta berbaloi dilaksanakan dengan keberkesanan sebenar keseluruhan 62.1 peratus, sekali gus mengurangkan impak kerugian di lokasi terjejas.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, radius kawasan dilengkapi PRAB sekitar 5 kilometer (km) daripada 183 kawasan diberi amaran juga mendapat manfaat.

Menurut kenyataan itu, kos RM129 juga program tersebut antaranya bagi tujuan membangunkan infrastruktur dan sistem bagi pelaksanaan PRAB di lembangan Sungai Terengganu, Kelantan, dan Pahang oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Ini termasuk pembinaan 347 stesen hidrologi telemetri, pemasangan 132 buah siren dan sistem pemodelan banjir. Data hidrologi dari stesen-stesen ini dipaparkan di laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my/ sebagai makluman awal banjir kepada agensi pengurusan bencana dan orang ramai.

“Data ini juga digunakan oleh agensi lain seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan badan pengurusan air negeri berdasarkan keperluan masing-masing,” katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, RM129 juta dibelanjakan bagi PRAB Fasa 1 tidak berbaloi kerana tidak dapat meramal aras air banjir serta masa dan lokasi banjir dengan tepat.

Beliau berkata, ini disebabkan ketepatan aras air banjir dan ramalan berhubung bila, serta di mana berlakunya banjir atau dikenali sebagai HIT tidak 100 peratus tepat.

Advertisements

“Selain itu, PAC juga mendapati bahawa walaupun jumlah keseluruhan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) telah dibayar melalui pemotongan bayaran kemajuan kontraktor, kelewatan bagi pemasangan sistem PRAB tidak sepatutnya berlaku kerana ia telah menjejaskan kehidupan sosial dan ekonomi rakyat yang terkesan dengan banjir,” katanya seperti dilapor media.

Mengulas hal itu, Petra mengalu-alukan syor dikemukakan PAC dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan maklumat tepat diterima orang awam berhubung PRAB.

Petra menjelaskan PRAB mampu menghasilkan ramalan banjir tujuh hari ke depan dengan menggunakan data hujan diramalkan oleh METMalaysia.

“Sebelum program ini dilaksanakan, kawasan pantai timur hanya memiliki dua model ramalan banjir yang berdasarkan model konvensional tanpa informasi ketepatan ramalan dan amaran banjir mengikut kawasan atau HIT yang yang spesifik,” katanya.

Katanya, tahap pencapaian HIT di peringkat global berada dalam julat 50 peratus hingga 70 peratus.

“Ketepatan ini dipengaruhi oleh faktor-faktor pembolehubah seperti taburan hujan, angin, tekanan udara, dan suhu persekitaran mengikut masa dan ruang,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan