KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor menaruh harapan agar resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) yang berakhir hari ini turut mengambil kira bumiputera di negeri itu.
Beliau berkata, apa juga resolusi yang digarap daripada kongres tersebut turut mengambil kira kepentingan masyarakat bumiputera Sabah.
Pada masa yang sama, Hajiji turut berharap apa juga pendekatan yang diambil bagi memperkasa ekonomi bumiputera Sabah, wajar kaedah atau pendekatan itu diinstitusikan di bawah kawal selia entiti kerajaan negeri.
“Ini bagi memberikan mandat kepada Sabah untuk mengkoordinasi dan menerajui program-program pembangunan sosioekonomi secara efisien, efektif dan bersinergi,” katanya demikian ketika berucap sempena KEB2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Beliau turut menaruh harapan yang tinggi, agar kepimpinan negara di bawah Kerajaan Perpaduan benar-benar komited untuk terus membela nasib bumiputera seluruh negara, termasuklah di Sabah.
“Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, dengan bilangan bumiputera mencecah sehingga 90 peratus daripada jumlah penduduknya, kami di Sabah mempunyai aspirasi yang amat tinggi untuk bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia menikmati kemakmuran dan kemajuan ekonomi negara.
“Ini bukan sahaja menyokong ekonomi akar umbi bumiputera di Sabah tetapi juga meletakkan asas kepada model pembangunan yang lebih inklusif dan mampan untuk komuniti bumiputera.
“Dengan kata lain, pemerkasaan ekonomi khususnya bagi bumiputera di Sabah, mestilah selari dengan pembangunan jaringan infrastruktur sebagai pemboleh daya utama,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri beriltizam untuk menutup rapat jurang kemiskinan yang telah lama menyelubungi ramai bumiputera di Sabah, dan bertekad membawa perubahan kepada kehidupan rakyat yang dahagakan pembelaan, khususnya yang berada nun jauh di pedalaman.
“Kami tidak lagi mahu ketinggalan, bahkan kami sentiasa berharap agar kek kemakmuran dapat dikongsi bersama dalam satu keluarga besar Malaysia.
“Jangan kita jadikan Laut China Selatan itu sebagai pemisah atau penghalang kepada kemajuan dan kesejahteraan bersama,” katanya.
Sehubungan itu katanya, visi kerajaan negeri adalah untuk memastikan usaha pemerkasaan ekonomi bumiputera Sabah diinstitusikan dan meraih pengiktirafan identiti unik bagi Sabah dalam konteks Malaysia.
“Seperti yang kita sedia maklum, faktor geografi merupakan salah satu halangan yang berupaya melambatkan proses pembangunan dan hal ini berlaku di Sabah.
“Ia bukan saja menghambat pertumbuhan ekonomi dan melewatkan proses pembangunan, tetapi juga membatasi aktiviti perekonomian serta sosial masyarakat Bumiputera, terutama di pedalaman.
“Selain itu, mengembangkan rangkaian infrastruktur yang kukuh adalah penting untuk ekonomi Sabah, terutamanya dalam meningkatkan perhubungan antara kawasan pedalaman dan pusat bandar.
“Ini bukan sahaja menyokong ekonomi akar umbi bumiputera di Sabah tetapi juga meletakkan asas kepada model pembangunan yang lebih inklusif dan mampan untuk komuniti bumiputera.
“Justeru, saya percaya dengan memperkasakan ekonomi bumiputera di Sabah melalui penyediaan latihan, pendidikan berkualiti, peningkatan literasi digital dan kewangan, serta melengkapi kemahiran yang diperlukan.
“Di samping kemudahan infrastruktur sebagai keperluan asas, akan membolehkan mereka mampu untuk bersaing di peringkat nasional kalau pun tidak di pentas global,”katanya. – Edisi 9