BEKAS Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud meninggal dunia sekitar pukul 4.28 pagi ini di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Berita duka pemergian Abdul Taib yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak itu disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi Facebook beliau sebentar tadi.
Allahyarham Abdul Taib yang genap 87 tahun pada 21 Mei lalu akan dibawa pulang ke Kuching hari ini sebelum dibawa ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk penghormatan terakhir.
Jenazah Allayarham akan disembahyangkan di Masjid Demak sebelum disemadikan di sebelah pusara isteri pertamanya, Toh Puan Laila Taib di kediaman peribadi mereka di Demak Jaya.
Sebelum ini, Abdul Taib merupakan satu-satunya figura politik era penubuhan Malaysia yang masih hidup dan pernah berada dalam Kabinet Sarawak yang ditubuhkan pada 22 Julai 1963.
Fadillah menerusi hantaran di Facebooknya mengucapkan salam takziah kepada keluarga dan melahirkan rasa sedih serta dukacita atas pemergian Allahyarham hari ini.
“Pemergian Almarhum adalah satu kehilangan besar bukan sahaja buat Sarawak, malah juga Negara.
“Almarhum juga pernah berkhidmat sebagai Menteri di peringkat Persekutuan sebelum kembali ke Sarawak,” katanya. – Edisi 9