JENAZAH bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selamat dikebumikan sekitar pukul 2.10 petang di Makam Diraja Shah Alam, Selangor.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke upacara pengebumian jenazah Allahyarham Abdul Khalid diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Turut mengiringi baginda, Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Haris Kasim serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
Terdahulu, beberapa kenamaan hadir memberi penghormatan di Masjid Negeri antaranya Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.
Turut kelihatan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
Kaum keluarga serta kenalan Allahyarham turut mengiringi perjalanan terakhir pemimpin berusia 76 tahun itu.
Jenazah Allahyarham Abdul Khalid sebelum itu disembahyangkan di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah.
Sementara bacaan talkin disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Muhammad Farhan Wijaya.
Abdul Khalid yang juga dikenali sebagai tokoh korporat menghembuskan nafas terakhir di Hospital Cardiac Vascular Sentral (HCVS) Kuala Lumpur pada pukul 11 malam tadi.
Allahyarham yang dimasukkan ke hospital sejak 23 April yang lalu akibat jangkitan pada injap jantung meninggalkan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak dan dua cucu.