27.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

KPDN serbu stor haram simpan, pindah diesel bersubsidi di Lukut

Mesti Baca

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi hasil serbuan di sebuah premis di Lukut, Port Dickson yang dijadikan stor haram penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya bermula 11 malam itu hasil maklumat awal pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan risikan oleh pihak KPDN beberapa hari sebelum operasi dilaksanakan.

Beliau berkata, hasil maklumat awal yang diperolehi, modus operandi sindiket itu adalah dengan mengisi minyak diesel bersubsidi dari beberapa stesen minyak berhampiran tempat kejadian dengan menggunakan lori yang telah diubah suai.

Katanya, lori-lori tersebut kemudian dibawa ke lokasi serbuan yang merupakan stor haram sebagai tempat untuk menyimpan dan memindahkan minyak diesel bersubsidi sebelum dijual di pasaran gelap.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis itu, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 15,000 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DATUK AZMAN ADAM

Azman berkata, dua buah lori, paip penyambung, minyak diesel dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM113,750,” katanya.

Beliau berkata, seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan.

Advertisements

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

“KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan,” tegas beliau.

Jelas beliau, mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Selain itu, katanya, syarikat berkenaan juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

Iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Katanya, jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan