31 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 9, 2024

SPRM bebas siasat orang kenamaan termasuklah PM,TPM 

Mesti Baca

KENYATAAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa golongan yang paling sukar untuk disiasat ialah mereka yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, malah Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ternyata tersasar dan tidak berasas.

Setiausaha Agung Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Rosdi Amir berkata, SPRM sudah memulakan siasatan terhadap Datuk Seri Najib Razak yang masih menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

Katanya, SPRM sudah menjalankan sejak Julai 2015 lagi selepas menerima aduan daripada orang awam serta laporan oleh media massa serta antarabangsa mengenai kemasukan wang dengan jumlah yang besar ke dalam akaun peribadi bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

“Akhirnya Najib dibawa ke muka pengadilan selepas melalui prosiding yang sah, beliau disabitkan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

“Bukan setakat itu, pada Julai 2018, SPRM juga sudah menyiasat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan kes dana Yayasan Akalbudi.

“Walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, namun siasatan baharu tidak pernah diumumkan sebagai berakhir.

“Itu tidak termasuk siasatan terhadap pelbagai pihak lain termasuk menteri atau bekas menteri daripada pelbagai parti sama ada kerajaan dan pembangkang.

“Jika hendak disenaraikan, tidak keterlaluan dikatakan kita juga mungkin sudah ‘lost count’ (terlalu banyak).

“Justeru dimanakah dakwaan wujudnya ‘selective investigation and prosecution’ (penyiasatan dan pendakwaan terpilih)?” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Rosdi berkata, SPRM harus meneruskan siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa yang diadukan kepada mereka tidak kira kes berkenaan membabitkan orang awam, ahli politik, orang kenamaan, individu bergelar Datuk, Datuk Seri, Tan Sri atau Tun.

Advertisements

“SPRM harus menjadi sebuah badan bebas yang diyakini oleh rakyat bagi menjadikannya profesional, relevan dan cekap,” katanya.

Rosdi memaklumkan SPRM tidak pernah mempunyai dan melaksanakan dasar siasatan terpilih dan sesiapa sahaja yang menyebabkan kerugian atau ketirisan dana kerajaan atau awam akan disiasat.

“Tohmahan terhadap SPRM seumpama ini sudah menjadi satu kelaziman oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda politik mahupun agenda lainnya,” katanya.

Mengenai dakwaan seorang anak individu diugut penjara lima tahun oleh pegawai SPRM sekiranya tidak mengisytiharkan harta, Rosdi memaklumlan masyarakat seharusnya faham mengenai prosedur standard operasi dan undang-undang yang terkandung dalam Kuasa Memperoleh Maklumat dalam Seksyen 36(1) dan 36(2) Akta SPRM 2009.

“Menurut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009, mana-mana orang dengan sengaja mengabaikan atau tidak mematuhi terma notis itu melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak melebihi RM100,000.

“Ini bermakna individu yang melakukan kesalahan berkenaan perlu dibicarakan di mahkamah dan disabitkan sebelum menerima hukuman penjara.

“Tidak patut disalah anggap sebagai satu ugutan kerana ia adalah prosedur standard operasi bahawa serahan Perintah Notis Pengisytiharan Harta yang dilaksanakan adalah sebagai sebahagian proses siasatan.

“Sekiranya benar anak beliau diugut, mengapa beliau tidak membuat laporan polis walhal ugutan itu satu kesalahan jenayah?.

“Maka jelaslah dakwaan ugutan itu tidak berasas dan satu permainan politik semata-mata untuk mencemarkan imej dan kredibiliti badan penguatkuasa,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor kecewa MFL tolak permohonan SFC

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa terhadap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menolak permohonan Selangor FC...

Lagi Artikel Berkaitan