SEORANG wanita warga emas kerugian lebih RM6 juta apabila diperdaya skim pelaburan emas tidak wujud yang ditawarkan di media sosial sejak Oktober lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata peniaga berusia 61 tahun itu hanya menyedari ditipu pada 22 Januari lalu apabila gagal ketika mahu mengeluarkan sebahagian wang pelaburannya berjumlah RM2.2 juta.
Mohd Yusri berkata, siasatan mendapati mangsa mula mengenali skim terbabit ketika melayari sebuah blog pelaburan di Facebook (FB) pada 14 Oktober lalu ketika berada di rumahnya di Taman Rasi Jaya, Ipoh, Perak.
Katanya, mangsa hanya berkomunikasi menerusi WhatsApp kemudiannya menyertai pelaburan terbabit.
Beliau berkata, suspek kemudiannya dikatakan memasukkan nombor telefon mangsa ke beberapa ‘kumpulan’ WhatsApp berbeza bagi tujuan pelaburan emas berkenaan.
Ini menyebabkan mangsa memasukkan dana pelaburan berjumlah RM6.22 juta melalui 32 transaksi ke 11 akaun bank yang berbeza.
“Namun begitu, semalam (22 Januari) apabila mangsa ingin mengeluarkan wang pelaburan berjumlah RM2.2 juta suspek bagaimanapun tidak membalas komunikasi mangsa dan platform pelaburan itu juga tidak dapat diakses.
“Mangsa baru menyedari sudah ditipu suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. -Edisi 9

