27.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Projek Residensi Hektar Gombak masih kekal ‘projek sakit’ – KPKT

Mesti Baca

PROJEK Residensi Hektar Gombak yang kini mencapai 84.75 peratus siap kekal dikategorikan sebagai projek sakit walaupun beberapa langkah mitigasi telah dilaksanakan oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pasukan Petugas Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang ditubuhkan tahun lalu telah melakukan beberapa sesi libat urus bersama pemaju, Hektar Aneka Sdn Bhd.

Beliau berkata, pasukan itu juga telah turun ke tapak projek dan berjaya memudah cara menyelesaikan isu-isu teknikal melibatkan pemasangan paip utama di bawah Skim Bekalan Air Bersepadu (IWSS), Sewage Treatment Plan (STP) dan pemasangan paip Greater KL (GKL).

“Walau bagaimanapun status kemajuan projek ini masih tertangguh berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh pemaju.

“KPKT masih mengekalkan status projek ini di bawah kategori sakit dan akan terus membantu pemaju bagi mendapatkan bantuan pinjaman kewangan untuk menyiapkan projek tersebut.

“Walau bagaimanapun pemaju hendaklah akur dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh institusi kewangan bagi memastikan dana pinjaman diluluskan kepada pemaju berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aiman Athirah berkata, pihaknya sedia memperhalusi alternatif terbaik untuk membantu pemulihan projek perumahan sakit terutamanya bagi rumah mampu milik demi kemaslahatan pembeli rumah yang terpaksa menanggung pembiayaan perumahan di samping kos menyewa rumah sedia ada.

Advertisements

Katanya, projek perumahan Residensi Hektar Gombak merupakan salah merupakan projek pembangunan bercampur yang terdiri daripada lima blok bangunan pangsapuri 46 tingkat melibatkan 2,400 unit rumah.

Projek perumahan yang dimulakan sejak 2017 itu terletak di Jalan Gombak, Setapak, Kuala Lumpur dan dilesenkan di bawah Akta Pemajuan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118].

Beliau berkata, projek itu mengalami kelewatan berbanding jadual kerja yang ditetapkan dalam Perjanjian Jual Beli (PJB) dan telah gagal untuk disiapkan dalam tempoh tersebut.

“Status kemajuan sebenar di tapak kekal sebanyak 84.75 peratus dan kerja-kerja di tapak hanya minimal dan tidak memberikan kemajuan yang signifikan,” katanya.

Katanya, KPKT melalui TFST komited meneruskan agenda nasional dalam membantu pemulihan projek-projek perumahan swasta yang bermasalah sama ada dalam kategori lewat, sakit atau terbengkalai.

Ini bagi memastikan kepentingan pembeli rumah terpelihara seterusnya mengurangkan beban rakyat bagi menjamin kelestarian industri perumahan mampu milik secara keseluruhan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan