34.5 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Melayu perlu ambil iktibar perpecahan Arab – Ismail Sabri

Mesti Baca

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru orang Melayu untuk mengambil pengajaran daripada perpecahan negara-negara Arab yang tidak berupaya menghalang kezaliman rejim aparteid Zionis terhadap penduduk Palestin.

Beliau berkata, Israel hanya negara kecil yang mempunyai tidak sampai 10 juta rakyat, dikelilingi 23 negara Arab dengan lebih 400 juta penduduk, tetapi hanya mampu melihat saudara sebangsa dan seagama disembelih.

“Paling menyedihkan, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hanya sekadar mengeluarkan kenyataan mengutuk Israel tanpa sebarang cadangan praktikal untuk menghentikan kekejaman ini.

“Malah, hendak mengeluarkan kenyataan mengutuk kekejaman yang amat dahsyat dalam sejarah dunia moden hari ini pun mereka berbalah sesama sendiri,” katanya seperti disiarkan sebuah akhbar hari ini.

Ismail Sabri berkata, episod duka di Palestin akan turut sama berlaku di negara ini jika orang Melayu dan bumiputera terus berpecah.

Katanya, masyarakat pribumi membentuk 70 peratus daripada jumlah penduduk tetapi berpecah teruk kerana tiada kesepakatan, perselisihan dan berbeza ideologi.

“Jika dihitung jumlah kerusi Ahli Parlimen Melayu dan bumiputera di Dewan Rakyat melebihi majoriti dua pertiga, 93 di sebelah kerajaan dan 73 kerusi di blok pembangkang.

“Bagaimanapun, komposisi dalam Dewan Rakyat sahaja tidak memberikan sebarang makna kerana orang Melayu dan bumiputera berpecah kepada terlalu banyak parti dan ideologi,” katanya.

Advertisements

Menurut Ismail, sudah ada pihak mula mengambil kesempatan dengan menuntut perkara tidak sepatutnya dan yang telah diterima sebagai sebahagian daripada amalan di negara ini akibat perpecahan orang Melayu.

“Maka timbul polemik bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri. Walaupun tidak bertentangan dengan perlembagaan, namun perbincangan tentangnya tidak pernah berlaku secara terbuka.

“Terbaru, DAP semakin biadap mencampuri urusan agama Islam dan Majlis Raja Raja Melayu apabila seorang pemimpinnya menuntut wakil bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah,” katanya.

Tambah Ismail, sewaktu perpaduan orang Melayu masih kuat dan utuh di bawah satu suara, tiada siapa pun berani membangkitkan isu-isu sensitif tersebut.

“Pemimpin-pemimpin Melayu harus duduk semeja berbincang untuk mencari titik persamaan supaya perpecahan ini dapat bertaut kembali.

“Jika orang Melayu tidak segera bersatu, suatu ketika nanti kita menjadi seperti orang Arab yang hanya mampu melihat saudara sebangsa dan seagama disembelih kerana tidak boleh berbuat apa-apa berikutan tiada kuasa,” katanya.

Beliau juga berharap tahun 2024 akan menjadi permulaan kepada penyatuan kembali umat Melayu dan bumiputera demi masa depan negara yang lebih baik. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Giliran calon PH tayang keputusan UPSR, SPM

SELEPAS calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut menayangkan sijil akademik pengajiannya, kini giliran calon Pakatan Harapan (PH) pula...

Lagi Artikel Berkaitan