DATUK Prof. Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkuat kuasa semalam.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi kenyataan memaklumkan, pelantikan semula Yuserrie adalah untuk tempoh setahun sehingga 31 Oktober 2024.
“Pelantikan semula ini bagi membolehkan Yuserrie meneruskan perancangan untuk memacu UMPSA sebagai sebuah universiti teknikal yang berteraskan teknologi dan kejuruteraan khususnya dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri.
“Kementerian yakin dengan pelantikan semula Yuserrie sebagai Naib Canselor akan dapat memperkasakan sistem kemahiran nasional melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bersifat kalis masa depan,” katanya hari ini.
Yuserrie merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum menyambung pengajian dalam bidang Perdagangan di University of Wollongong, Australia pada 1992.
Beliau juga memiliki Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1997.
Beliau yang mula berkhidmat di UMPSA yang sebelum ini dikenali sebagai Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 2009 juga pernah memegang jawatan sebagai Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS) pada tahun 2010.
Sebelum itu, Yuserrie telah berkhidmat selama 11 tahun di USM. – Edisi 9

