32.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

Kes jenayah dadah meningkat 30.6 peratus tahun lalu

Mesti Baca

STATISTIK kes berkaitan dadah meliputi kesalahan membekal dan memiliki serta positif ujian urin menunjukkan peningkatan 30.6 peratus iaitu 141,289 kes pada tahun lalu berbanding 108,220 kes pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kesalahan membekal dadah meningkat sebanyak 18 peratus, memiliki dadah (35.1 peratus) dan positif ujian urin (31.2 peratus) pada 2022 berbanding 2021.

“Bilangan tangkapan berkaitan kes dadah pula meningkat 26.3 peratus kepada 163,697 tangkapan pada 2022 seperti yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan.

Statistik berkenaan adalah berdasarkan laporan Statistik Jenayah Malaysia 2023 yang diterbitkan dan disiarkan menerusi laman sesawang Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Khamis.

Menerusi laporan berkenaan, kes positif ujian urin dadah merekodkan jumlah tertinggi iaitu 69,270 kes pada tahun lepas berbanding 52,816 kes pada tahun sebelumnya, diikuti kesalahan memiliki dadah (52,398 kes berbanding 38,775 kes pada 2021) manakala membekal dadah (19,621 kes berbanding 16,629 kes pada 2021).

Selain statistik jenayah dadah, laporan Statistik Jenayah Malaysia 2023 turut memuatkan statistik jenayah terpilih lain iaitu jenayah indeks, komersial, keganasan dan seksual, rasuah, pematuhan alam sekitar, kesalahan trafik, maritim dan fasiliti pemulihan bagi 2021 hingga 2022.

Mohd Uzir berkata, antara jenayah yang turut menunjukkan peningkatan bilangan kes ialah jenayah seksual dan ia merekodkan peningkatan 2.9 peratus dengan 3,303 kes pada 2022 berbanding 3,209 kes pada tahun sebelumnya.

“Kes seks luar tabii, gangguan seksual dan cabul kehormatan, masing-masing menunjukkan penurunan sebanyak 10.4 peratus, 5.7 peratus dan 0.5 peratus.

Advertisements

“Kes rogol mencatatkan peratus peningkatan tertinggi pada 2022 iaitu 9.6 peratus,” katanya.

Bagi jenayah yang menunjukkan penurunan adalah jenayah indeks yang merekodkan 50,813 kes tahun lalu berbanding 52,974 kes pada tahun sebelumnya, manakala jenayah komersial mencatatkan 30,536 kes pada 2022 daripada 31,490 kes pada 2021.

“Jenayah indeks dan jenayah komersial masing-masing menurun sebanyak 4.1 peratus dan tiga peratus pada 2022.

“Jenayah indeks merangkumi jenayah kekerasan dan jenayah harta benda dan masing-masing menunjukkan penurunan 10 peratus dan 2.4 peratus iaitu 10,348 kes dan 40,465 kes pada 2022.

“Kesemua jenis kesalahan di bawah jenayah komersial pada 2022 yang dilaporkan PDRM menurun kecuali kesalahan berkaitan wang palsu dan jenayah siber,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan tipu merekodkan bilangan tertinggi iaitu 27,247 kes diikuti pecah amanah (911 kes) dan kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (832 kes).

Bagi kes berkaitan rasuah pula, Mohd Uzir berkata, bilangan kertas siasatan yang dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan penurunan satu peratus kepada 820 kes pada 2022 daripada 828 kes pada tahun sebelumnya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Duit raya: Daripada keriangan kepada pelaburan masa depan

Oleh DR MOHAMED HADI ABD HAMID dan MOHD ZAIDI MD ZABRI HARI Raya Aidilfitri bukan sahaja membawa kegembiraan kepada kanak-kanak...

Lagi Artikel Berkaitan