31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Fadhlina ke Persidangan Agung UNESCO di Paris

Mesti Baca

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek mengetuai delegasi negara ke Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Kali Ke-42 di Paris, Perancis, yang berlangsung pada 7 November lepas hingga semalam.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dalam persidangan itu, Fadhlina yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia telah menyampaikan kenyataan negara semasa sesi perbahasan umum dan berkongsi visi serta pencapaian Malaysia dalam menjayakan agenda UNESCO.

Menurut KPM, antara yang diketengahkan ialah mengenai peranan aktif Malaysia dalam mendukung agenda UNESCO seperti melalui sumbangan kepakaran dan kewangan melalui Program Kerjasama Malaysia-UNESCO yang memanfaatkan lebih 7,000 peserta daripada 87 negara.

“Malaysia juga mengetengahkan usaha yang diterajui secara bersama dengan Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura dalam mengangkat kebaya sebagai warisan kebudayaan yang diiktiraf UNESCO.

“Ini merupakan satu daripada usaha dalam meraikan persamaan dan solidariti rantau ASEAN demi memperkasakan warisan budaya tempatan ke peringkat global,”menurut kenyataan itu.

KPM turut memaklumkan Malaysia menyumbang dalam pembangunan pengetahuan menerusi Kursi UNESCO berkaitan Pembelajaran Masa Hadapan yang disandang oleh Malaysia serta pengiktirafan terkini UNESCO Triple Crown Site kepada Sabah dalam memelihara dan mempromosi tapak warisan dunia, biosfera dan geopark di Sabah.

Advertisements

“Negara-negara anggota turut disarankan untuk sentiasa memupuk kepercayaan serta keharmonian sejagat selain mewujudkan kerjasama erat dan strategik dalam menangani cabaran global melalui pendekatan penyelesaian silang.

“Semua negara anggota perlu memberi tumpuan untuk mencapai agenda SDG 2030 (Matlamat Pembangunan Mampan 2030) serta melaksanakan usaha yang berterusan selepas 2030,”kata kenyataan itu.

Pada persidangan itu, Fadhlina turut berkongsi mengenai kesungguhan Malaysia menyediakan peluang pendidikan berkualiti bagi semua murid merentasi batasan kaum, agama atau status sosial.

“Ini dilakukan menerusi elemen pembangunan pendidikan berteraskan Pendidikan Manusiawi yang menumpukan kepada penerapan nilai dan pendekatan berorientasikan insan dalam pembangunan karakter berkonsepkan Karamah Insaniah,”menurut KPM.

Selain menghadiri persidangan agung, Menteri Pendidikan turut menyertai Dialog Peringkat Menteri Berkaitan Pendidikan Keamanan yang dihadiri oleh menteri-menteri negara anggota UNESCO serta mengadakan lawatan ke beberapa institusi pendidikan yang boleh dijadikan penanda aras bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Penyertaan di persidangan agung itu membuktikan komitmen berterusan Malaysia selaku negara anggota UNESCO sekali gus membuka berpeluang kepada negara untuk membuat intervensi bagi memastikan prestasi dan pencapaian Malaysia dalam bidang kompetensi UNESCO adalah selari dengan agenda semasa global. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan