26.2 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Banjir: Ambil langkah pencegahan, patuh arahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENDUDUK di kawasan berisiko banjir digesa mengambil langkah pencegahan sewajarnya dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak dan mengurangkan impak bencana terhadap nyawa serta harta benda.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penduduk yang berada di kawasan mudah terkesan banjir disaran merujuk maklumat terkini berkaitan bencana itu dari sumber yang sahih.

“Hujan lebat sejak beberapa hari kebelakangan ini menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air selain paras sungai utama juga menunjukkan trend menaik.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, bilangan negeri yang terkesan banjir kekal di tiga negeri.

“Ia membabitkan di enam daerah iaitu di Perak, Selangor dan Pahang yang dilaporkan masih terjejas dengan seramai 881 mangsa daripada 237 ketua isi rumah (KIR) direkodkan sedang berada di 12 pusat penempatan sementara (PPS),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat memaklumkan, setakat jam 6 pagi tadi, tiga sungai iaitu di Sungai Pontian Besar, Johor; Sungai Perak Hilir, Perak dan Sungai Langat, Selangor masih berada di paras bahaya.

Advertisements

Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) turut mengeluarkan ramalan Cuaca Signifikan pada jam 7.30 pagi tadi bagi tempoh 6 hingga 8 November ini.

“Berdasarkan analisis model cuaca terbabit, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kebanyakan kawasan pedalaman dan barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat Sabah terutama di sebelah petang hingga malam,”katanya.

Justeru, beliau menyarankan orang ramai mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, PublicInfoBanjir di Facebook serta Twitter @JPS InfoBanjir.

“Bagi maklumat cuaca pula, orang ramai boleh memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan informasi mengenai cuaca terkini dan sahih dari MET Malaysia.

“Saya berdoa dan berharap supaya kejadian ini tidak membawa kerosakan yang besar serta semua mangsa tabah dan sabar melalui dugaan ini,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan