25.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

5,000 banjiri Dataran Nilai nyatakan solidariti untuk Palestin

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

KIRA-KIRA 5,000 orang membanjiri Dataran Nilai, Negeri Sembilan Sabtu lalu bagi menyatakan solidariti mereka terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk serangan zionis Israel terhadap bumi Gaza.

Perhimpunan Solidariti Selamatkan Palestin itu turut dihadiri oleh Pengerusi Cyberview Sdn Bhd, Datuk Romli Ishak; Pensyarah Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi serta Setiausaha Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Faris Hussain.

Menurut Romli, pihaknya telah berjaya mengumpul sumbangan hampir RM1 juta daripada para penyumbang yang ada di Negeri Sembilan sehingga setakat ini.

Belia menggesa agar orang ramai tidak berhenti memberi sumbangan bagi meringankan beban rakyat Palestin dan terus mendoakan kejayaan mereka menentang zionis Israel.

“Bantulah saudara-saudara kita di Palestin semampunya dan janganlah berhenti berdoa kepada mereka. Walaupun kita tak dapat berperang bersama mereka tetapi doa kita adalah senjata terhebat bagi memerangi zionis laknatullah,” katanya dalam perhimpunan tersebut.

Nada hampir serupa dilaungkan Ahmad Sanusi dengan mengajak orang ramai terus mendoakan kesejahteraan dan keamanan untuk rakyat Palestin yang menjadi mangsa kerakusan zionis Israel.

Advertisements
Dr Ahmad Sanusi Azmi ketika menyampaikan ucapan dalam perhimpunan Solidariti Selamatkan Palestin di Dataran Nilai, Sabtu lalu.

Beliau berkata, peristiwa seperti hari ini pernah terjadi di zaman Rasulullah yang mana seorang daripada kaum Yahudi Bani Qainuqa’ telah melanggar perjanjian mereka bersama Muslimin Madinah, lalu Rasulullah mempersiapkan bala tenteranya untuk mempertahankan hak Muslim ketika itu.

“Isu Palestin bukanlah sekadar isu kemanusiaan tetapi ianya juga melibatkan isu agama yang menuntut bela ke atas apa yg berlaku kepada kaum Muslimin yang ditimpa kezaliman oleh musuh Islam iaitu Zionis laknatullah,” katanya.

Sementara itu Faris menekankan tiga aspek penting dalam mempertahankan isu Palestin iaitu memahami isu dengan sebenar-benarnya, melumpuhkan ekonomi Israel dengan memboikot barangan syarikat yang menyokong mereka dan bersatu padu dalam apa jua keadaan yang mendatang.

“Orang yang mati jiwanya ialah orang-orang yang apabila melihat kezaliman berlaku, tidak terkesan kepada dirinya malah membiarkan hak-hak saudaranya ditindas dan dirobek tanpa sedikit pun rasa belas kasihan,” kata beliau.

Perhimpunan itu turut diselangi dengan perarakan kibaran bendera Palestin, bacaan doa Qunut Nazilah, laungan takbir dan slogan “Hidup Palestin, Hancur Zionis”. – Huda Dini Sayuti (Pelajar USIM) / Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan