BEKAS vokalis kumpulan rock tanah air Jinbara, Tia atau nama sebenarnya Shamsul Bakhtiar Zakaria, meninggal dunia jam 9.17 malam tadi.
Berita duka pemergian penyanyi lagu Farhana itu disahkan oleh isterinya, Suzan Ahmad.
Suzan berkata, suaminya meninggal dunia kerana penyakit kanser hati.
Allahyarham yang berusia 53 tahun sebelum ini disahkan menghidap kanser hati selepas mengadu sakit perut pada Rabu lalu.
Terdahulu, isterinya yang juga bekas wartawan telah melancarkan tabung bagi membiayai pembedahan pemindahan hati Allahyarham Tia di New Delhi, India namun hasrat itu tidak kesampaian.
Berita pemergian Tia turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Menerima berita sedih. Salam takziah buat keluarga Allahyarham Tia, bekas vokalis kumpulan Jinbara, yang telah meninggal dunia sebentar tadi.
“Semoga keluarga Allahyarham tabah dengan ujian ini,” katanya ringkas di laman Facebook, semalam.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di Kg Jawa Klang sementara pengurusan jenazah akan dibuat di Masjid Kota Raja dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jln Sg Jati, Klang, pada pagi ini. -Edisi 9