PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berbohong dan membuat tuduhan sembrono berhubung perbelanjaan kontrak publisiti dan pengiklanan di bawah kerajaan PN sebelum ini.
Perdana Menteri Kelapan itu berkata, dakwaan Anwar bahawa kerajaan PN di bawah pimpinannya membelanjakan sehingga RM500 juta bagi tujuan tersebut dan melanggar peraturan serta tatakelola sebagai keterlaluan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, dakwaan dibuat Perdana Menteri itu bertentangan dengan jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat pada 14 Februari lalu.
Berikut kenyataan penuh Muhyiddin:
Saya merujuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan saya telah membelanjakan RM500 juta bagi kontrak publisiti dan pengiklanan.
Anwar juga mendakwa jumlah itu melanggar peraturan dan tatakelola serta keterlaluan.
Ingin saya tegaskan ini adalah suatu pembohongan kerana jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat pada 14 Februari 2023 menyatakan bahawa Kerajaan PN hanya membelanjakan RM181,752.20 untuk penjenamaan.
Sedangkan Kerajaan Madani pimpinan Anwar yang tidak sampai setahun memerintah pada ketika itu berbelanja sebanyak RM489, 216.
Jawapan bertulis itu juga menyebut Kerajaan Keluarga Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM62 juta bagi tujuan yang sama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menjelaskan hanya satu program sahaja dilaksanakan semasa pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional memandangkan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.
Pada 25 Mei 2023 pula, ketika Persidangan Dewan Rakyat, Menteri yang sama telah memaklumkan tentang perbelanjaan terkini bagi program Malaysia Madani termasuk pengiklanan dan promosi iaitu sebanyak RM7.4 juta.
Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pecahan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sehingga kini bagi tujuan promosi dan pengiklanan jenama Malaysia Madani di seluruh negara.
Kenyataan ini dibuat sendiri oleh Menteri Kerajaan Madani di Parlimen. Nampaknya, Anwar membuat kenyataan yang tidak munasabah dan bercanggah dengan kenyataan oleh Menteri di Parlimen.
Saya mentadbir negara ketika COVID-19 melanda. Seingat saya penggunaan papan iklan besar, televisyen dan radio pada masa itu adalah untuk menyampaikan pesanan-pesanan mengenai bahaya COVID-19, maklumat berkaitan Pakej Rangsangan Ekonomi dan bantuan untuk rakyat.
Walaupun pada awal tahun ini iaitu 29 April lalu, Anwar berjanji “tidak akan membazirkan wang negara” dengan memasang papan iklan besar namun lihatlah hari ini, billboard gergasi Madani terpampang di merata-rata tempat, di mana-mana sahaja.
Justeru kenyataan Anwar yang memetik sejumlah angka sebegitu besar kononnya dibelanjakan oleh Kerajaan pimpinan saya untuk tujuan promosi adalah satu tuduhan liar bagi memburuk-burukkan imej PN di mata rakyat.
Perbuatan menuduh secara semberono merupakan satu lagi episod pembohongan Anwar yang jelas berniat jahat. – Edisi 9