25.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 8, 2024

Polis terima 3 laporan ‘phone scam’ babit kerugian lebih RM1.4 juta

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS Johor menerima tiga laporan bagi kes penipuan pelaburan serta ‘phone scam’ dalam masa dua hari membabitkan kerugian lebih RM1.4 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada tiga warga tempatan berusia antara 36 hingga 46 tahun pada kelmarin dan semalam.

Beliau berkata, bagi kes pertama membabitkan seorang wanita yang pada mulanya berkenalan dengan seorang lelaki warga asing melalui aplikasi ‘TanTan’.

“Lelaki itu menawarkan pelaburan emas dan mata wang USD menggunakan aplikasi ‘Okgold’ dan pengadu dijanjikan keuntungan sebanyak 11 peratus daripada jumlah modal yang dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari urus niaga dilakukan.

“Pengadu mendakwa dia melakukan 78 transaksi pembayaran antara 6 Mei lalu hingga 28 Mei ke akaun Public Bank atas nama ‘SHUISHANG CHAFANG’ berjumlah RM637,163.55.

“Selepas bayaran dilakukan, pengadu tidak menerima keuntungan sebagaimana dijanjikan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, bagi kes kedua, Kamarul Zaman berkata, seorang lelaki terjerat dengan kes penipuan selepas melihat skim pelaburan ‘Crypto’ melalui laman sesawang ‘Yomaex Crypto Market’.

Katanya, pada 11 Julai lalu, pengadu membuat pelaburan kali pertama sebanyak RM7,005 dan menerima keuntungan sebanyak RM470.

“Pengadu kemudian melakukan 19 transaksi pembayaran ke 16 akaun berbeza antara 11 Julai hingga 29 September lalu berjumlah RM451,887.

Advertisements

“Selepas bayaran dibuat, pengadu tidak menerima keuntungan sebagaimana dijanjikan,”katanya.

Katanya, kes ketiga membabitkan seorang wanita yang menerima panggilan telefon melalui ‘WhatsApp’ dari seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Calvin Law’ dari Pos Laju.

Beliau berkata, lelaki itu menyatakan bahawa pengadu mempunyai bungkusan haram dari Pos Laju yang berada di Alor Setar untuk dihantar ke Kuching, Sarawak.

“Pengadu menafikan perkara berkenaan, namun kemudian panggilan disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan memaklumkan pengadu terbabit dengan siasatan kes polis.

“Pengadu diarahkan untuk memindahkan wang ke akaun yang diberikan sementara siasatan dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan wang tersebut akan dikembalikan selepas siasatan selesai.

“Pengadu kemudian membuat bayaran antara 21 September lalu hingga kelmarin yang keseluruhannya berjumlah RM322,270 melalui 15 transaksi ke 11 akaun bank yang diberikan,”katanya.

Sehubungan dengan itu, Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya dalam urusan membabitkan transaksi kewangan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok bagi mendapatkan maklumat terkini modus operandi jenayah komersial.

“Sila hubungi ‘National Scam Response Centre’ (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Mahkota: BN sekali lagi pertaruh calon Pemuda 

BARISAN Nasional (BN) sekali lagi menpertaruhkan wakil Pemuda UMNO sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri...

Lagi Artikel Berkaitan