KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) kini dalam fasa akhir untuk memuktamadkan cadangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dalam aspek penambahbaikan kepada ekosistem dan landskap mahasiswa di universiti awam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penambahbaikan itu melibatkan seksyen-seksyen yang berkait rapat dengan pengurusan kewangan pelajar.
Selain itu, kata Mohamed Khaled, ia turut berkaitan dengan pihak berkuasa tatatertib pelajar, tempoh lantikan Majlis Perwakilan Pelajar dan Kumpulan Wang Majlis Perwakilan Pelajar.
“Selaras dengan hasrat ini, KPT telah mengadakan pelbagai sesi libat urus dengan kumpulan mahasiswa dan pengurusan universiti, termasuk agensi Kerajaan untuk menambahbaik aspek autonomi daripada segi pengurusan aktiviti dan kewangan persatuan pelajar.
“Dengan input dan maklumbalas yang diterima, insya-Allah, kementerian akan membentangkan cadangan pindaan kepada AUKU di Parlimen dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan lisan yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen, hari ini.
Mohamed Khalid berkata, kementerian berpandangan bahawa mahasiwa kini sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar dalam membuat keputusan.
“Ia dengan memberi lebih autonomi kepada mereka untuk melaksanakan aktiviti berpersatuan dan menyenggara kewangan aktiviti pelajar yang sebelum ini tidak dibenarkan di bawah AUKU,” katanya. – Edisi 9