28.7 C
Kuala Lumpur
Friday, December 13, 2024

Anak legenda bukan tiket dapat layanan istimewa

Mesti Baca

MENJADI anak kepada pasangan artis veteran bukanlah tiket mudah untuk kekal berada dalam industri seni dan mendapat layanan istimewa, sebaliknya perlu melalui proses yang sama seperti orang lain.

Begitulah situasi yang dilalui oleh anak legenda Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail iaitu Dilla Hussein dan Fairuz Hussein.

Pasangan adik beradik itu mengakui kecewa terhadap sikap segelintir pihak yang didakwa tidak melayan mereka dengan sewajarnya.

Dilla, 60, berkata, mereka pernah hadir untuk sesi ‘pitching’ projek filem di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), namun agak terkilan apabila mendapat layanan buruk daripada mereka.

“Tiada sesiapa pun yang memandang kami atau memberi ‘muka’ hanya kerana kami anak legenda.

“Semua itu tidak memberi apa-apa makna malah gelaran yang dibawa tidak memberi keistimewaan untuk kami mendapatkan  sesuatu projek yang ditawarkan.

“Kami perlu bersusah payah membuat pembentangan itu pun belum tentu diterima. Memang kecewa dengan apa yang berlaku.

“Sekurang-kurangnya berilah perhatian. Kami juga sama-sama cari rezeki. Kami berusaha bukan sekadar menggunakan gelaran anak legenda semata-mata,” kata Dilla.

Mereka berkata, lebih menyedihkan ada satu program iaitu  Pameran 100 Tahun Sinema Malaysia anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM), kedua beradik itu tidak diberitahu.

Advertisements

“Saya memang tidak tahu dan apabila saya tanya Fairuz dan Faizal, mereka pun tak tahu juga,” katanya.

Dilla berkata, pada program itu terdapat poster filem Bukit Kepong yang memaparkan gambar bapa mereka, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin terpampang besar di dinding tetapi mereka tidak diundang ke pameran yang berlangsung selama dua bulan bermula 22 Mei lalu.

“Kami pergi tapi kami tahu pun melalui sebaran di TikTok, namun barang pameran tidak banyak yang tersedia. 

“Saya lihat video, ketika perasmian mereka jemput Mak Nani (Datuk Rosnani Jamil). Kemudian saya lihat yang dijemput ramai muka pelakon yang tidak dikenali.

“Saya tertanya-tanya adakah mereka pelakon legenda? Saya tanya anak pelakon legenda lain dan mereka juga tidak tahu akan kewujudan pameran berkenaan,” katanya yang masih aktif menulis skrip.

Sementara itu, Fairuz, 58, berkata, mereka sering berdepan senario ditikam dari belakang oleh segelintir pihak yang mahu melihat mereka gagal.

“Melihat keadaan yang berlaku membuatkan kami selesa buat hal sendiri. Syukur saya masih ada platform sendiri yang diusahakan bersama suami, Zul Nadzar,” katanya.

Mereka ditemui selepas menjayakan program Seloka Legenda Waris Seni yang diadakan di sebuah hotel di Ampang, baru-baru ini.

Selain Dilla dan Fairuz, program anjuran Persatuan Melodi Kenangan Artis & Penggiat Seni Malaysia (Pemekar) itu turut menampilkan Fauziah Datuk Ahmad Daud iaitu waris seniwati Saadiah & Ahmad Daud, Hairi Kool waris keluarga Sophia Ibrahim, dan Osama Yamani waris Datuk Jamal Abdillah. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

YKM belanja RM5 juta bantu anak yatim akibat COVID-19

YAYASAN Keluarga Malaysia (YKM) telah membelanjakan sebanyak RM5 juta pada tahun ini bagi membantu meringankan beban dihadapi anak-anak yatim...

Lagi Artikel Berkaitan