26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

NUTP minta kerajaan kawal ketat penjualan vape

Mesti Baca

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mahu kerajaan segera melaksanakan kawalan ketat terhadap promosi dan penjualan vape di dalam negara.

NUTP berkata, ia bagi memastikan murid sekolah tidak mendapat akses sewenang-wenangnya terhadap produk rokok yang mengandungi nikotin dan menyebabkan ketagihan kepada penggunanya.

“Nikotin walaupun dalam kuantiti yang kecil boleh menyebabkan kebergantungan yang tinggi berbanding dadah lain.

“Pendedahan kepada racun nikotin pada usia muda boleh menyebabkan gangguan kepada perkembangan otak dan emosi seorang kanak-kanak sehingga menjejaskan pembelajaran mereka di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

NUTP berkata, akibat daripada itu proses pembelajaran dan produktiviti murid-murid terjejas kerana selalu ponteng kelas akibat masalah kesihatan yang disebabkan oleh tabiat merokok.

“Pendekatan yang lebih dinamik dan holistik perlu dilakukan bukan sahaja oleh KKM.

Advertisements

“Semua pihak seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan ibu bapa juga perlu turut menjaga urusan anak-anak di sekolah,” katanya.

Katanya, kerjasama daripada agensi kerajaan yang lain juga turut diperlukan bagi memastikan produk-produk merokok seperti vape tidak mudah untuk diperoleh oleh anak-anak ketika mereka keluar daripada pagar sekolah.

“NUTP sekali lagi menegaskan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 perlu dibentang dan diluluskan segera.

“Semua pihak perlu bersama-sama menggembleng tenaga dan usaha demi menjayakan RUU berkenaan agar kesihatan dan kesejahteraan murid-murid terjamin,” katanya.

Terdahulu, RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dijadual dibentang semula ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan semalam, ditangguhkan.

Bagaimanapun, RUU yang berada di peringkat bacaan kedua itu masih terkandung dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat yang bersidang bermula kelmarin hingga 30 November depan. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan