PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) kini menjadi rakan kongsi Stadium Loftus Road di United Kingdom (UK) dan ia adalah platform penjenamaan serta pemasaran yang berharga dalam meningkatkan profil Malaysia di negara berkenaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, usaha MATRADE itu, berupaya meningkatkan peluang untuk eksport Malaysia ke pasaran negara eropah itu.
“Tahniah Dato’ Seri @reezal_mericandan @matradedi atas kerjasama bersama Kelab Bola Sepak Queens Park Rangers (QPR) untuk hak penamaan Stadium MATRADE Loftus Road di London, UK.
“Stadium MATRADE Loftus Road adalah platform penjenamaan dan pemasaran yang berharga dalam meningkatkan profil Malaysia di UK dan meningkatkan peluang untuk eksport Malaysia ke pasaran ini,” katanya dalam ciapan di X.
Tengku Zafrul berkata, lebih menarik MATRADE tidak perlu berbelanja untuk hak penamaan ini di mana semua kos akan diserap pemilik bersama QPR dari Malaysia sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
“Terima kasih saya ucapkan atas sumbangan ini. Saya harap lebih ramai lagi ahli korporat Malaysia akan tampil untuk bekerjasama dalam pelbagai projek korporat sosial, bukan sahaja bersama MATRADE malah bersama agensi-agensi lain dalam usaha menaikkan nama Malaysia,” katanya.
UK adalah ekonomi keenam terbesar di dunia. Perdagangan antara Malaysia dan UK yang kini berjumlah RM17.58 bilion (£3.24 bilion) dijangka berkembang dengan penyertaan UK dalam CPTPP.
Stadium itu secara rasmi ditukar nama kepada MATRADE Loftus Road Stadium dalam satu majlis dihadiri Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican diiringi pemilik bersama QPR, Datuk Ruben Gnanalingam Abdullah yang juga Ahli Lembaga Pengarah MATRADE.
Terdahulu, MATRADE dalam kenyataannya menjelaskan perjanjian hak penjenamaan selama tiga tahun itu adalah platform yang sangat berharga untuk meningkatkan profil dan keterlihatannya dengan ketara di UK.
“Digabungkan dengan cadangan penyertaan UK ke Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuki Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), MATRADE akan menggunakan platform stadium QPR yang berharga ini untuk meningkatkan lagi profil Malaysia sebagai negara perdagangan terbuka dan mengembangkan perdagangan terutamanya apabila perlawanan bola sepak atau acara sukan lain sedang disiarkan dari Loftus Road Stadium berkapasiti 18,169 orang,” kata kenyataan berkenaan.
MATRADE berkata kerjasama tiga tahun itu menandakan inovasi pertama untuk kedua-dua pihak dalam menyatukan promosi sukan dan perdagangan dengan cara yang segar dan menarik. -Edisi 9