27.9 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Konflik tujuh dekad Palestin-Israel tidak akan selesai

Mesti Baca

KONFLIK di antara Palestin dan Israel sudah berlarutan sejak tujuh dekad dan tidak akan menemui penyelesaiannya dengan perkembangan terbaharu yang berlaku di Semenanjung Gaza.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau percaya dengan maklum balas daripada negara Barat yang berkuasa serta pengampu termasuk media mereka, bertindak hipokrit, prejudis dan melampau.

Katanya, berbanding menyelesaikan konflik sesuai dengan kenyataan sebenarnya, mereka memilih untuk terus merekacipta naratif yang menyesatkan dengan menyatakan serangan yang dilakukan ke atas Israel dilakukan pengganas, sekali gus mereka dengan jelas menyalahkan Hamas, Hezbollah dan Iran.

“Dengan naratif itu, mereka menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat Barat, dengan menyatakan ia sebagai serangan terhadap demokrasi dan orang yang mencintai perdamaian.

“Amerika Syarikat khususnya berasa berhak untuk mereka memberikan sokongan ketenteraan kepada Israel bagi `membalas’ serangan Palestin.

“Semua ini menyimpang jauh dari kebenaran. Sebaliknya, mereka melakukan pembohongan yang terang-terangan tanpa rasa malu oleh pemimpin Barat dan media mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Mahathir antara pemimpin yang lantang dalam isu Palestin menegaskan kebenaran berhubung isu Palestin-Israel adalah sangat sederhana.

Katanya, selama beberapa dekad, Israel sudah melakukan jenayah perang, pembunuhan beramai-ramai, penghapusan bangsa dan kekejaman yang tidak dapat dibayangkan terhadap rakyat Palestin.

“Tindakan itu tidak dilakukan sekali gus, sebaliknya dilakukan secara sistematik tanpa henti sepanjang tujuh dekad.

Advertisements

“Selain tanah Palestin yang diperoleh Israel secara haram melalui perjanjian sepihak dan perjanjian dengan bekas penjajah Palestin, penempatan Israel dengan secara paksa merampas tanah dan ladang milik rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata, orang Palestin dihalau dari tanah mereka, dan sebarang usaha mereka mendapatkan pampasan daripada pihak berkuasa Israel sering kali dibalas dengan keganasan yang disokong oleh pasukan keselamatan Israel, terutama tentera Israel (IDF).

“Orang Palestin, ditolak ke tepi sementara Gaza diubah menjadi penjara udara terbuka, dijadikan medan puncak pembalasan, yang mana IDF digerakkan dengan senjata yang dibekalkan oleh kuasa-kuasa besar, terutamanya Amerika Syarikat.

“Episod ini tidak berbeza daripada tindak balas sebelumnya yang mana mungkin kali ini mereka lebih berfokus dengan sedikit bantuan dari luar,” katanya.

Dr Mahathir turut menyelar kuasa Barat yang meneruskan pembohongan mereka, dengan mencipta naratif bahawa tindakan yang diambil itu sebagai tindak balas terhadap pengganas, sedangkan hakikatnya tindakan itu sebagai balasan kepada orang yang berjuang atas kebebasan dan hak mereka terhadap tanah yang dirampas dengan paksaan.

“Mereka (Barat) enggan melihat bahawa permusuhan dilakukan oleh pejuang kebebasan yang menentang ketidakadilan yang dilakukan oleh rejim apartied yang melakukan genosida terhadap orang Palestin.

“Kuasa-kuasa Barat dan Amerika Syarikat kini berpihak kepada apartid, genosida, dan jenayah terhadap kemanusiaan jika mereka terus menyokong rejim Israel yang kejam.

“Dengan itu, sebarang usaha untuk mencari penyelesaian yang adil dan saksama bagi orang Palestin menjadi satu usaha yang sia-sia.

“Sementara itu, boleh dijangkakan bahawa orang Israel akan terus melakukan genosida mereka dengan bebas dan tanpa menghiraukan undang-undang antarabangsa,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan