KONDOMINIUM mewah yang menjadi penempatan warga asing diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Bersepadu di Jalan Munshi Abdullah Kuala Lumpur, kira-kira jam 1 pagi tadi.
Dalam operasi yang diketuai Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh itu, telah menahan seramai 136 warga asing daripada sejumlah 3,016 yang diperiksa.
Ruslin berkata, operasi berkenaan dijalankan selepas pihaknya melakukan risikan dan menerima aduan orang awam mengenai kebanjiran warga asing di kawasan itu.
“Dalam serbuan itu, seramai 3,016 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, seramai 136 warga asing berusia antara 20 hingga 70 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia (45), Pakistan (41), India (33), Indonesia (12), Nepal (4) dan Thailand (1).
“Kesalahan tertinggi dikesan adalah tinggal lebih masa, pasport tamat tempoh dan tiada dokumen perjalanan yang sah,”katanya menerusi hantaran di Facebook.
Berikutan itu, katanya, kesemua warga asing ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih, Selangor, untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Operasi itu melibatkan dengan kekuatan 338 pegawai dan anggota JIM dari Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.
JIM turut mendapat kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Edisi 0