25.1 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024

Jaga keselamatan di laut pada musim tengkujuh – Maritim Malaysia

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

ORANG ramai khususnya komuniti maritim dinasihatkan supaya menjaga keselamatan ketika berada atau melakukan aktiviti di laut terutamanya pada musim tengkujuh.

Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Pertama Maritim Hamizan Harun berkata, persediaan rapi adalah perlu bagi mengelakkan insiden kecemasan di laut seperti lemas, kecederaan atau hilang di laut. 

Katanya, berdasarkan statistik antara 2020 hingga 2022, kecemasan di laut yang direkodkan Maritim Malaysia adalah sebanyak 772 insiden dan majoriti insiden adalah melibatkan komuniti nelayan.

“Maritim Malaysia sentiasa menasihatkan kepada mereka yang ingin melakukan aktiviti di laut khususnya komuniti maritim agar memberikan perhatian serius mengenai perkara ini. 

“Melihat perkara ini seringkali diambil mudah dan ada yang tidak mengetahui persiapan yang perlu dilakukan, Maritim Malaysia ingin memberikan beberapa tips keselamatan bagi mengelak sebarang kecelakaan yang tidak diingini berlaku ketika berada di laut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tips pertama katanya, adalah memaklumkan destinasi kepada ahli keluarga atau rakan terdekat. 

“Ini kerana sering kali Maritim Malaysia menerima aduan insiden apabila anggota keluarga tidak mengetahui destinasi mangsa. Keadaan ini menyukarkan pihak berkuasa untuk membuat pencarian,” jelasnya.

Selain itu katanya, orang ramai dinasihatkan sentiasa menyemak ramalan kaji cuaca melalui laman web rasmi Jabatan Metereologi Malaysia atau applikasi MY cuaca. 

Advertisements

Menurut beliau, Personal Locator Beacon atau (PLB) perlu dibawa bersama khususnya jika berada dalam kecemasan ketika di laut. 

“Peralatan ini menggunakan isyarat satelit dan pihak berkuasa dapat mengetahui kedudukan mangsa dengan tepat dengan hanya menekan satu butang.

“Tips keempat, sentiasa pakai jaket keselamatan. Jaket keselamatan dapat meningkatkan keberangkalian untuk berapung lebih lama dan memudahkan pihak berkuasa untuk mengesan mangsa kerana warna jaket keselamatan yang mudah dilihat,” katanya.

Sementara itu, bot dalam dipastikan berada keadaan selamat, peralatan navigasi dan komunikasi dalam keadaan baik dan pastikan kapasiti minyak mencukupi. 

“Sekiranya ingin ke laut, pergi secara berkumpulan. Ini kerana jika terdapat sebarang masalah, ahli kumpulan akan dapat membantu sesama sendiri. 

“Selain itu, pastikan membawa kit peralatan kecemasan dan bekalan ubat. Ia amat penting sekiranya anda mengalami kecederaan di laut dan dapat mengurangkan kesakitan sementara dalam perjalanan menuju ke darat,” katanya.

Hamizan berkata, tips yang diberikan sedikit sebanyak ia akan dapat mengurangkan risiko kepada mereka yang melakukan aktiviti di laut seterusnya menyumbang kepada penurunan insiden kecemasan di laut.

“Walau bagaiamanapun, pihak agensi menasihati kepada orang ramai khususnya komuniti maritim untuk menangguh terlebih dahulu daripada melakukan sebarang aktiviti di laut ketika musim tengkujuh,” tegasnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

KPM umum beberapa inisiatif termasuk lonjak kapasiti guru digital

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital, kata Menteri Pendidikan,...

Lagi Artikel Berkaitan