26.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Indonesia, Australia pelawa Malaysia anjur Piala Dunia 2034

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

INDONESIA sedang mengadakan perbincangan bersama Australia bagi membida hak penganjuran Piala Dunia 2034 bersama Malaysia dan Singapura.

Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir berkata, ia susulan pelawaan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kepada negara Asia dan Oceania untuk menyertai bidaan tersebut, minggu lalu.

“Kami berbincang (mengenai bidaan) bersama Australia.

“Apabila saya melawat Malaysia dan Singapura, kedua-dua negara berkenaan menyatakan minat untuk menyertai Indonesia dan Australia,” katanya seperti dipetik dari Sydney Morning Herald, hari ini.

Bagaimanapun menurut laporan Reuters, PSSI enggan memberi maklum balas mengenai cadangan tersebut sementara Football Australia menyatakan mereka masih meneroka kemungkinan membida Piala Kelab Dunia 2029 atau Piala Dunia 2034.

FIFA minggu lalu mengumumkan Sepanyol, Maghribi dan Portugal sebagai tuan rumah bagi kejohanan Piala Dunia 2030 dengan Uruguay, Paraguay dan Argentina akan menganjurkan perlawanan pembukaan.

Advertisements

Susulan pengumuman tersebut, Arab Saudi mengumumkan hasrat mereka untuk mendapatkan hak penganjuran bagi edisi 2034 dengan FIFA menetapkan 31 Oktober ini sebagai tarikh akhir.

Dalam pada itu, Thohir berkata, mungkin terlalu awal untuk Piala Dunia kembali ke bumi Asia Barat susulan penganjuran oleh Qatar pada Disember lalu.

“Kami agak kuat. Saya fikir FIFA akan lihat kawasan Asia Barat telah menjadi tuan rumah di Qatar tahun lalu.

“Jepun dan Korea Selatan juga telah menganjurkannnya. Saya pasti FIFA akan mencuba di negara-negara lain.

“Potensi untuk kami menang jika bersama Australia, Malaysia dan Singapura pastinya lebih besar,” katanya.

Piala Dunia 2026 akan menampilkan sebanyak 48 pasukan dan akan dianjurkan secara bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan