29.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

DRB-HICOM, Geely jalin kerjasama utama bangunkan AHTV

MCA tersebut menetapkan prinsip-prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama dalam pembangunan projek Automotive Hi-Tech Valley

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DRB-HICOM Berhad memeterai perjanjian kerjasama utama (MCA) dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) bagi pembangunan Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Hartanah, Perancangan dan Strategi Korporat DRB-HICOM, Azri Zaharuddin bersama Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Operasi Geely, Dr Wei Mei.

Majlis tersebut turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi Geely, Eric Li dan Pengerusi Proton, Syed Faisal Albar.

DRB-HICOM berkata, MCA tersebut menetapkan prinsip-prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama dalam pembangunan projek Automotive Hi-Tech Valley itu.

Katanya, ia termasuk peranan khusus yang perlu dilaksanakan untuk pembangunan dan inisiatif promosi.

“Perjanjian hari ini akan membawa kerjasama antara DRB-HICOM dan Geely ke peringkat seterusnya.

“Perkembangan terbaharu ini adalah susulan daripada pemeteraian Dasar-Dasar Utama Perjanjian (HOA) oleh DRB-HICOM dan Geely, awal tahun ini semasa Forum Perniagaan Malaysia-China di Beijing,” katanya dalam kenyataan itu.

Mencerminkan kepentingan strategik Automotive Hi-Tech Valley itu, Perdana Menteri turut mempengerusikan mesyuarat pembangunan projek AHTV peringkat tertinggi sebelum majlis menandatangani perjanjian tersebut.

Advertisements

Menurut DRB-HICOM, Automotive Hi-Tech Valley akan menarik pelaburan tempatan dan luar negara yang akan mendorongnya menjadi sebuah hab automotif antarabangsa untuk NEV.

“Tumpuannya bukan sahaja kepada pengeluaran kereta pelbagai jenama tetapi juga dalam pembuatan komponen dan alat ganti berteknologi tinggi untuk NEV.

“Ini akan memperluaskan lagi keupayaan vendor tempatan ke arah pengkhususan dalam pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.

Selain MCA, turut berlangsung pemeteraian HOA antara Altel Communications Sdn Bhd dan syarikat pelaburan strategik Geely, Zhejiang Geespace Technology Co Ltd.

HOA tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan sistem teknologi tinggi serta mempercepat pelaksanaan penyelesaian inovatif bagi sektor-sektor seperti pelabuhan pintar.

April lalu, Perdana Menteri sewaktu melakukan lawatan kerja rasmi empat hari ke China mahu projek Automotive Hi-Tech Valley itu dipercepat memandangkan projek itu membabitkan pelaburan besar dan memberi peluang pekerjaan kepada puluhan ribu anak muda tempatan.

Projek AHTV membabitkan pembukaan di kawasan berkeluasan diaggarkan kira-kira 400 hektar dibangunkan sebagai hab kenderaan generasi akan datang di Tanjong Malim.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, AHTV dijangka menarik pelaburan bernilai kira-kira RM32 bilion, termasuk pelaburan daripada syarikat kereta nasional PROTON.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bernas tanam padi pulut berskala besar di Langkawi

PADIBERAS Nasional Berhad (Bernas) melaksanakan projek penanaman padi pulut berskala besar membabitkan ladang sawah seluas 540 hektar di Langkawi,...

Lagi Artikel Berkaitan